Manuty cadang guna semula sistem manual
Bernama
September 22, 2018 06:32 MYT
September 22, 2018 06:32 MYT
Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty mencadangkan agar parti itu menggunakan semula sistem manual dalam pengundian parti, menggantikan sistem e-voting yang bermula pada Sabtu.
Ini, katanya, untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar dan memberi keadilan kepada semua anggota parti terutama yang berumur.
"E-voting kurang berkesan terutama kepada orang yang berusia kerana ada kalangan mereka tidak celik teknologi walaupun sistem 'chai' (penyediaan senarai calon-calon) dibenarkan kali ini.
"Kita mengamalkan dasar demokrasi satu anggota satu undi, tetapi bila yang dewasa (berusia) tidak celik IT haknya ternafi, mereka terpinga-pinga," katanya dalam sidang media di Ipoh pada Sabtu.
Beliau mengulas mengenai keputusan PKR menangguhkan pemilihan parti di beberapa negeri berikutan masalah teknikal yang berlaku hingga menyebabkan perjalanan pengundian di beberapa negeri seperti Kedah dan Pulau Pinang terganggu.
Pemilihan di negeri-negeri lain yang antaranya dijadualkan pada Ahad juga ditangguhkan.
-- BERNAMA