Manogaran sengaja cabar Akta SPR - Ismail Sabri
Astro Awani
Januari 26, 2019 16:09 MYT
Januari 26, 2019 16:09 MYT
Tindakan calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran memakai baju berlogo parti ketika berada di pekarangan pusat pengundian disifatkan sebagai sengaja mencabar Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pemangku Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempersoalkan tindakan calon PH itu berkata ia bertentangan dengan Akta SPR.
Menurutnya, sejak penamaan calon sehingga ke hari ini, jentera PH dikritik berhubung pelbagai perkara yang didakwa melanggar etika perjalanan pilihan raya seperti pengedaran duit minyak, penggunaan kenderaan kerajaan, pemberian sumbangan dan bantuan secara terbuka serta ugutan terhadap tok batin.
"Lebih malang lagi calon (PH) itu ke tempat pengundian dengan logo (parti) sedangkan itu jelas dalam akta SPR tidak ada logo pun boleh berada dalam lingkungan 50 meter dari tempat pengundian dan dia berada dalam pusat pengundian.
"Ini jelas menunjukkan kerajaan PH hari ini tidak mempedulikan apa peraturan serta undang-undang dan buat apa mereka suka walaupun bantahan dan laporan polis dibuat BN sejak mula (kempen)," katanya ketika ditemui di luar pekarangan pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Betau di sini hari ini, yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Noor.
Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera turut mempersoal mana suara-suara dan kenyataan lantang daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih yang dahulunya sering mengkritik ketika pemerintahan kerajaan BN.
"Saya harap Bersih jangan hanya berarak di jalan raya sewaktu (kerajaan ) BN yang mereka katakan kurang bersih, tapi sekarang ini jelas 'kotor' berlaku secara terbuka.
"Malah, sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada Bersih atau pun mana-mana NGO lain," katanya.
Sementara itu, Ramli kecewa dengan tindakan calon PH tersebut yang tidak peka dengan akta-akta SPR, walhal calon itu sudah tiga kali bertanding pada pilihan raya.
"Dia lebih berpengalaman daripada saya. Saya baru pertama kali (bertanding). Jadi sekarang, saya biarkan orang ramai menilai," katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan tinggi sokongan pengundi terhadap BN berdasarkan tinjauannya ke beberapa pusat pengundian sejak pagi tadi.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional
#ismail sabri yaakob
#Pakatan Harapan
#PRK Cameron Highlands
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#UMNO