Manifesto PH tidak bela kebajikan masyarakat India - Sivarraajh
Astro Awani
Mac 10, 2018 08:53 MYT
Mac 10, 2018 08:53 MYT
Pemuda MIC melihat janji manifesto Pakatan Harapan (PH) tidak langsung mengkhususkan kepada usaha untuk membela kebajikan, memperkasakan sosioekonomi belia serta masyarakat India.
Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, tiada apa yang menarik atau baru dalam manifesto itu untuk masyarakat India sekali gus membuktikan tiada pemimpin PH yang mewakili masyarakat India dan betul-betul berjuang untuk membawa agenda mereka.
"Kebanyakan janji manifesto yang diumumkan Pakatan Harapan sudahpun dan sedang dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Jika diteliti secara terperinci kandungan manifesto Pakatan Harapan, ia boleh ditafsirkan sebagai populis namun tidak praktikal langsung.
"Apa yang pasti juga, tidak ada apa-apa kajian dibuat sebelum membuat manifesto tentang keperluan masyarakat India," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada Khamis, PH melancarkan manifesto PRU14 yang menjanjikan 10 perkara, bagi meringankan beban rakyat dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan PH.
Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan, beberapa perkara dalam manifesto PH itu sudah terkandung dalam Manifesto Gagasan Sejahtera yang bakal dilancar Pas tidak lama lagi.
Dalam pada itu kata Sivarraajh, manifesto itu membuktikan PH hanya retorik dan sengaja menabur janji palsu untuk menarik minat rakyat.
"Tetapi hakikatnya mereka tiada kemampuan langsung untuk melaksanakannya.
"Berbeza dengan janji yang dibuat BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu di mana ia sudah dan akan ditepati," jelasnya.
Sebelum ini, Datuk Seri Najib memberitahu, Barisan Nasional (BN) akan menjadikan manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sebagai yang terbaik dalam memperjuangkan nasib rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.
Tegasnya, semua manifesto dijanjikan akan dilaksanakan sebaik mungkin seperti manifesto PRU ke-13 yang lalu antaranya pemansuhan empat tol pada 1 Januari lalu.
Katanya, manifesto itu akan diumumkan apabila tiba masanya dan menjadi keutamaan BN dalam memperjuangkan untung nasib rakyat.