Manifesto pembangkang adalah manifesto 'Pak Pandir' - Najib

Astro Awani
April 19, 2018 14:59 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir bagi merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 di Stadium Batu Pahat hari ini. - Foto Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan manifesto pembangkang sebagai manifesto 'Pak Pandir' apabila mahu menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), memansuhkan tol dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN), tindakan itu hanya akan memusnahkan ekonomi negara sekali gus menjejaskan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Ujar beliau, pada masa ini Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dalam keadaan kukuh dan stabil selain peningkatan pasaran modal.
"Dia (pembangkang) kata kalau dihapuskan GST apa gerenti harga barang akan turun sebab harga barangan bukan dalam kawalan kerajaan dan dia (pembangkang) kata tiada jaminan harga akan turun sebaliknya diperkenalkan SST, (perkara itu) akan tambah harga sedia ada.
"Ini polisi pak pandir pembangkang yang akan bawa kesan buruk kepada ekonomi dan menjejaskan kesejahteraan rakyat, pada keseluruhannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian minggu Amanah Sabah Malaysia di Stadium Batu Pahat, Johor.
Tambah Najib, manifesto pembangkang itu berbeza dengan manifesto BN kerana dilihat memberi manfaat selepas tiga badan penarafan menyemak semula impak pertumbuhan negara sekali gus meningkatkan keuntungan negara.
"Bila saya membentangkan Manifesto BN pada malan 7 April dengan 14 tunjang dilihat memberi manfaat selepas tiga badan penarafan mendapati kadar pertumbuhan naik daripada 5.4 peratus kepada 5.6 peratus.
"Badan penarafan ini langsung tidak menyebut langsung manifesto pembangkang kerana tidak ada nilai apa yang terkandung dalam manifesto," katanya.
Sementara itu, Najib menjelaskan Johor akan menjadi Penaja Ekonomi Baharu di negara ini berikutan beberapa projek pemangkin yang memberi kesan besar kepada rakyat
Beliau berkata, keyakinan masa depan Johor tersebut disandarkan selepas melihat kepesatan pembangunan rancak di negeri itu.
"Antara lain termasuk pembangunan wilayah ekonomi Iskandar Malaysia, Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia, Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR), Sistem Rapid Transir (RTS) dan Desaru Coast," katanya.
#BSKL #ekonomi #kukuh #manifesto BN #Najib Tun Razak #Pak Pandir #pembangkang #Pengerusi BN
;