Manifesto Pakatan Harapan praktikal, bukan populis - Saifuddin
Hafiz Marzukhi
Mac 7, 2018 16:17 MYT
Mac 7, 2018 16:17 MYT
Pakatan Harapan (PH) bakal membentangkan manifesto yang praktikal, bukan populis.
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata sebagai 'government-in-waiting', PH perlu bertanggungjawab dalam membuat janji kepada rakyat.
"Anda bakal lihat nanti dalam manifesto, ada perkara populis yang tidak kami umumkan.
"Ini kerana kami bertanggungjawab dalam semua janji yang digariskan. Apa yang kami tawarkan dalam manifesto itu nanti, semuanya boleh dilakukan sebaik sahaja kami mengambil alih kerajaan," kata Saifuddin.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pra-pelancaran Manifesto Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Saifuddin turut memaklumkan bahawa manifesto yang bakal diumumkan akan menggariskan lima perkara utama – mengurangkan kos sara hidup rakyat; mereformasikan institusi dan polisi; merancakkan ekonomi demi rakyat; mengembalikan hak rakyat Sarawak dan Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, dan mewujudkan Malaysia yang inklusif dan sederhana.
"Di bawah lima pillar (perkara utama) tersebut, ada 60 janji yang digariskan. Selain itu, ada 10 janji yang akan ditunaikan PH dalam masa 100 hari pertama setelah kami mengambil alih kerajaan.
"Semuanya akan diumumkan pada Khamis," kata Saifuddin.
Manifesto Pakatan Harapan bakal dilancarkan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) esok.
#Manifesto
#Manifesto Pakatan Harapan
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#pilihan raya umum
#PRU14
#Saifuddin Abdullah