Manifesto khas mekanisme penyelesaian masalah orang muda - Sivarraajh

Astro Awani
April 11, 2018 15:00 MYT
SIVARRAAJH: Manifesto khas orang muda BN menjadi mekanisma penyelesaian terhadap masalah dan beban yang ditanggung belia hari ini. - Gambar fail
Manifesto khas orang muda merupakan usaha bertanggungjawab Barisan Nasional (BN) dalam memperkasakan peranan golongan itu dalam segenap bidang dan sektor.
Ketua Pemuda MIC Datuk C Sivarraajh berkata, ia janji yang memenuhi aspirasi serta suara anak muda, di samping mengatur satu perancangan jitu dan tersusun untuk negara menuju ke arah kemajuan yang diinginkan.
"Dalam lapan teras manifesto yang dibentangkan ini, ia mempunyai aspirasi dan matlamat tersendiri, bukannya hanya berkisar kisah janji manis dan dakwaan ‘gula-gula’ seperti dimomokkan pembangkang, tapi di dalamnya terpahat satu mekanisma penyelesaian terhadap masalah dan beban yang ditanggung belia hari ini.
"Mewujudkan peluang kerjaya dan latihan bagi belia dibawah usia 30 tahun dalam tempoh enam bulan dibawah program Tawaran Orang Muda (TOM), bakal menjadi penyelesaian terhadap masalah kesukaran mendapatkan kerja yang kini membelenggu graduan.
"Bagi anak muda yang berhadapan kesukaran dalam mendapatkan dana dan bantuan kerajaan bagi memulakan program keusahawanan, pengenalan portal Yen.Gov.My yang menjadi pusat bersepadu menghimpunkan pelbagai agensi penyalur bantuan seperi TEKUN, MDEC, MARA, PUNB, AIM, TERAJU bakal memberi kemudahan buat belia memilih agensi bersesuaian dan fleksibal, di samping menyelesaikan permasalahan birokrasi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
BACA: Saya sendiri pastikan Manifesto Pemuda BN terlaksana - Khairy
BACA: Kerajaan BN ambil pandangan semua pihak laksana manifesto
Pada Selasa, manifesto Jaminan Orang Muda (JOM) dilancarkan bertemakan 'Bersama, Kita Hebatkan Orang Muda disempurnakan Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin.
Ia mempunyai lapan jaminan, yang menyentuh dari aspek kehidupan, sosial dan kewangan.
Dalam pada itu, lebih mustahak kata Sivarraajh, manifesto orang muda tidak sesekali meminggirkan kumpulan itu yang pernah terbabit dengan prilaku jenayah atau melanggar undang-undang.
"Kelompok ini akan tetap mendapat perhatian BN supaya peluang kedua diberikan menerusi peluang untuk mereka menjalani bidang Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan sebagainya.
"Manifesto ini adalah janji menyeluruh dan mencakupi semua isu yang membelenggu anak muda.
"Ia bukan saja berfokus kepada anak muda bandar, malah luar bandar selain mencakupi semua peringkat usia belia dan bangsa, Melayu, India dan Cina, malah juga segenap etnik di Sabah dan Sarawak," ujarnya.
Paling penting jelasnya, tiga juta peluang pekerjaan baharu dan berpendapatan tinggi yang bakal dicipta untuk rakyat Malaysia harus direbut golongan muda tempatan dan melihatnya satu aspek dalam penambahbaikan diri serta pertumbuhan positif ekonomi negara menjelang 2050.
Tambahnya, pembangkang, boleh menjanjikan bulan dan bintang, namun mereka tiada keberanian seperti BN untuk membentangkan satu janji khusus untuk orang muda.
"BN menampilkan janji seperti ini yang dibuat pertama kali dalam sejarah manifesto BN.
"Ia membuktikan iltizam dan kesungguhan kepemimpinan BN yang mahukan anak muda terus diberi perhatian dan menjadi tunjang utama membawa negara ke era lebih maju termasuk dalam merencana dan mencapai matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50)," katanya.
#Barisan Nasional #India #Khairy Jamaluddin #Malaysia Memilih #MalaysiaMemilih #MARA #MIC #pilihan raya #pilihanraya #PRU14 #Sivarraajh #TN50
;