Manifesto BN Sabah tunjangi 20 komitmen, MA63 terus diperjuang

Ruzaini Zulkepli, Fifi Harteeny Marzuki
April 25, 2018 23:09 MYT
MUSA dalam pelancaran Manifesto BN Sabah di , di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli
Manifesto Barisan Nasional (BN) Sabah yang bertemakan 'Tanah Airku Maju' ditunjangi oleh 20 komitmen yang sentiasa meletakkan rakyat sebagai kepentingan utama dalam pemerintahan BN.
Dilancarkan Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman, di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, malam ini, pengumuman manifesto berkenaan menyaksikan kehadiran lebih 5,000 penyokong BN yang memenuhi dewan berkenaan.
Menurut Musa, komitmen yang pertama adalah memelihara hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), komitmen kedua Menyuburkan hubungan antara agama dan kaum manakala komitmen ketiga dan keempat adalah berkaitan langsung dengan rakyat kumpulan B40.
"Komitmen ketiga dan keempat berkaitan langsung dengan rakyat dalam kumpulan B40. Kita akan merancakkan agenda membasmi kemiskinan sehingga kita mencapai angka kemiskinan sifar dan membina lebih banyak rumah mampu milik," katanya.
Komitmen kelima hingga kesepuluh adalah Komitmen berterusan menangani isu pendatang asing tanpa izin, Memperkasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Mewujudkan peluang pekerjaan yang saksama, Pengurusan tanah yang lebih efisien, Perlindungan alam sekitar ke arah ekonomi hijau serta Merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Komitmen ke-11 hingga ke-13 pula merangkumi Pembangunan wanita dan kesaksamaan gender, Pembangunan belia dan sukan serta Mempertingkatkan pembangunan modal insan.
Sementara itu komitmen ke-14 hingga ke-17 pula lebih menjurus kepada ekonomi Negeri Sabah.
"Empat komitmen seterusnya menjurus kepada ekonomi negeri, kita akan, Mengukuhkan kedudukan kewangan dan ekonomi negeri, Memacu sektor pertanian, Merancakkan industri pelancongan serta Menggiatkan pertumbuhan industri minyak dan gas," katanya.
Atas dasar kesedaran untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri yang bergantung kepada tadbir urus yang baik maka komitmen yang ke-18adalah Mewujudkan kerajaan berintegriti.
Dua lagi komitmen adalah Mengiktiraf industri kreatif sebagai sumber ekonomi baharu serta Memperluaskan capaian jalur lebar.
#basmi kemiskinan #ESSCom #hak-hak Sabah #Kumpulan B40 #MA63 #Malaysia Memilih #Manifesto #Manifesto BN Sabah #Pengerusi BN Sabah #Perjanjian Malaysia 1963 #sifar #Tan Sri Musa Aman
;