Manifesto BN Sabah bawa agenda utama rakyat, bukti keikhlasan pemimpin
Fifi Harteeny Marzuki
April 26, 2018 12:09 MYT
April 26, 2018 12:09 MYT
Intipati manifesto Barisan Nasional (BN) Sabah bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mengambil serius isu Perjanjian Malaysia (MA63) yang sudah lama diperjuangkan oleh rakyat di negeri ini.
Pemimpin BN Sabah yang ditemui rata-rata yakin manifesto yang diumumkan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman itu jelas menunjukkan keikhlasan pimpinan negeri dalam memperjuangkan hak-hak istimewa masyarakat Sabah.
Yamani Hafez Musa berkata, komitmen pertama manifesto untuk memelihara hak Sabah dalam MA63 dan komitmen kedua bagi menyuburkan hubungan antara agama dan kaum, adalah isu paling mustahak dalam manifesto kali ini.
Jelas Pengerusi Pemuda BN Sabah itu, kedua-dua isu tersebut merupakan agenda paling penting dalam manifesto yang ditunjangi 20 komitmen itu, dipercayai akan melonjakkan lagi sokongan rakyat terhadap kerajaan BN di negeri ini.
"Bagi saya, dua isu manifesto ini paling penting dan mustahak. Tanpa dua komitmen ini, agenda manifesto yang lain tidak akan berfungsi.
"Dua inilah yang paling besar yang rakyat dahagakan selama ini, di mana dulu, isu ini merupakan perkara nombor satu, isu yang paling besar, sampailah sekarang," katanya.
Sementara itu, Setiausaha BN Negeri Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, manifesto kali ini sangat menyeluruh merangkumi semua aspek.
"Manifesto tersebut cukup merangkumi semua aspek wanita dan juga pembangunan lestari.
"Paling penting dalam manifesto ini satu janji yang mutlak daripada kerajaan Negeri Sabah iaitu dalam memastikan bahawa tuntutan di bawah MA63 itu akan diperjuangkan dan akan menjadi satu kenyataan untuk rakyat di negeri ini," katanya.
Ketua Puteri UMNO Sabah, Normala Rasik berkata, manifesto BN kali ini, dalam memperjuangkan kaum wanita, sangat diterima baik oleh wanita di negeri ini.
Jelasnya, manifesto yang menyeluruh dan adil ini mampu memberi impak kepada kepimpinan BN jika diberi mandat untuk menerajui kerajaan selepas ini.
"Manifesto kali ini sangat menyeluruh, terutama sekali kepada golongan wanita, di mana kita turut ada satu manifesto ADUN Belia untuk belia-belia kita.
"Selain itu saya melihat manifesto ini amat menarik dan tepat iaitu mengenai keselamatan negeri kita di mana kita tahu keselamatan itu sangat penting untuk menjaga keamanan negeri ini," katanya.