Manifesto BN: Pelbagai manfaat untuk peneroka Felda
Bernama
April 7, 2018 05:25 MYT
April 7, 2018 05:25 MYT
Peneroka Felda adalah antara kumpulan yang beruntung melalui janji terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Sabtu malam.
Dengan tema 'Bersama BN Hebatkan Negaraku', BN menawarkan insentif khas RM5,000 bagi setiap peneroka Felda selain pewujudan geran khas bagi tujuan penanaman semula.
Hutang pembelian saham FGV peneroka Felda juga akan dilupuskan, menurut manifesto itu yang turut menawarkan pelupusan hutang penanaman semula peneroka.
Selain itu, ia berjanji melupuskan hutang tambahan peneroka Felda semasa proses penanaman semula.
BN melancarkan manifesto ini untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dijangka berlangsung akhir bulan ini atau awal Mei. Parlimen secara rasmi dibubarkan Sabtu.
Di bawah tajuk 'Dompet Rakyat', BN turut menawarkan peningkatan gaji minimum pekerja secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya RM1,500 dalam tempoh lima tahun.
Manifesto itu berjanji menubuhkan Fair Works Commission untuk menentukan paras gaji pekerja sektor swasta agar lebih setimpal.
Perkara lain yang ditawarkan BN ialah:
- Memperkenalkan kadar dividen dan bonus pelbagai peringkat untuk dana pelaburan dan unit dana amanah dan GLIC lain (kecuali KWSP).
- Memperluaskan dana Skim Bantuan Tani dan penanaman semula untuk pekebun kecil kelapa sawit, getah, koko dan kenaf.
- Memberikan insentif cukai individu RM1,000 setahun untuk mereka yang menyumbang ke arah pemerkasaan seni budaya negara.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional
#Felda
#gaji minimum
#geran khas
#insentif khas
#MalaysiaMemilih
#Manifesto
#Najib Razak
#pekerja swasta
#penanaman semula
#peneroka
#politik
#PRU14