Manifesto BN inklusif termasuk negeri pembangkang - Irmohizam
Bernama
April 16, 2018 04:49 MYT
April 16, 2018 04:49 MYT
Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bersifat inklusif merangkumi janji kemajuan di setiap negeri termasuk negeri yang dikuasai pembangkang.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata manifesto yang mengandungi 14 teras utama beserta 300 inisiatif itu merupakan janji yang menyentuh kesejahteraan hidup masyarakat dengan mengambil kira keperluan semua negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Rakyat sendiri dapat merasai dan menilai perbezaan yang sangat jauh antara manifesto Barisan Nasional dengan manifesto parti gabungan pembangkang.
"Saya berharap agar rakyat tidak terkeliru dengan manifesto gabungan pembangkang yang bukan sahaja tidak jelas, malah tidak munasabah untuk dilaksanakan.
"Saya amat yakin dan percaya rakyat dapat memahami dengan lebih baik apabila meneliti manifesto yang lebih realistik dan futuristik.
Ini kerana, manifesto BN adalah perkara-perkara yang boleh dilakukan oleh kerajaan BN dan bukannya sekadar penyedap telinga semata-mata," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Malah, katanya, manifesto BN lebih mementingkan serta memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif yang besifat serius dan ikhlas.
-- BERNAMA