'Mana surat tunjuk sebab?', soal Muhyiddin
Astro Awani
Mei 18, 2016 13:42 MYT
Mei 18, 2016 13:42 MYT
Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa UMNO menghantar surat tunjuk sebab sebelum mengambil apa-apa tindakan terhadap dirinya.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau tidak pernah dimaklumkan oleh Lembaga Disiplin mengenai apa-apa tuduhan pelanggaran disiplin parti terhadapnya.
"Saya juga tidak pernah diberikan surat tunjuk sebab atau dipanggil untuk membela diri oleh Lembaga Disiplin berkait dengan apa-apa dakwaan pelanggaran disiplin terhadap saya," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Muhyiddin mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, semalam yang mendedahkan satu laporan oleh Lembaga Disiplin UMNO mengenai kedudukannya dalam parti telah disiapkan dan diserahkan kepada Majlis Tertinggi UMNO.
"Kenyataan Setiausaha Agung UMNO menimbulkan kemusykilan.
"Ia menggambarkan bahawa proses tuduhan pelanggaran disiplin parti terhadap saya telah dibuat tanpa mengikut tatacara dan prosedur yang betul, sekali gus bercanggah dengan peruntukan Fasal 20.1 Perlembagaan UMNO," ujarnya.
Pada masa yang sama, Muhyiddin yang sebelum ini menyertai Deklarasi Rakyat diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, mempertahankan tindakannya mengkritik kepimpinan parti.
"Adalah malang sekiranya tindakan saya untuk menyelamatkan UMNO dianggap sebagai melanggar disiplin parti.
"Saya berhak untuk mengetahui asas-asas tuduhan ke atas diri saya dan seterusnya membela diri sebelum sebarang tindakan diambil terhadap saya," katanya lagi.
#Lembaga Disiplin
#Muhyiddin Yassin
#pelanggaran disiplin parti
#Setiausaha Agung
#surat tunjuk sebab
#UMNO