Mana perginya perjuangan reformasi? - Wan Saiful
Rahimah Abdullah
Disember 2, 2022 23:48 MYT
Disember 2, 2022 23:48 MYT
KUALA LUMPUR : Ini persoalan yang ditimbulkan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan apabila dia menyifatkan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'muflis moral' kerana mengangkat kluster mahkamah dalam pentadbiran negara.
"Mana perginya perjuangan reformasi? Saya juga kasihan pengundi UMNO-BN kerana segala laungan mereka telah dijual sebegitu murah oleh Zahid Hamidi yang mahu menyelematkan diri. Adakah UMNO masih relevan hari ini?
"Terbukti sekali lagi hanya Perikatan Nasional (PN) sahaja yang layak bercakap soal prinsip dan moral. Kami lebih rela menjadi pembangkang yang bermaruah daripada mengemis kuasa dan menjilat ludah sendiri sehingga tergamak menggadaikan prinsip perjuangan sepertimana dilakukan PH dan BN," tegasnya lagi.
Justeru, beliau mengajak pengundi DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai menolak calon PH-BN.
"Kepada rakyat, Kerajaan Rosak pimpinan Anwar Ibrahim, yang terkandung di dalamnya perasuah, penyamun, kluster mahkamah, serta pendendam kepada penjawat awam, perlu dihukum dengan seberat-berat hukuman dengan menolak calon PH-BN di DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai pada 7 Disember ini.
Menurut Wan Saiful, ketika PH-BN 'muflis moral', PN adalah satu-satunya wadah serta harapan buat rakyat Malaysia. PN mengangkat, memperjuang dan menjunjung tinggi imej serta ketrampilan politik baru yang bersih, stabil, segar serta berintegriti demi menghasilkan Malaysia yang makmur dan sejahtera untuk semua.
Beliau turut mendakwa, tindakan itu sebagai satu lagi usaha untuk 'mensucikan' kluster mahkamah dan dikhuatiri mengganggu kes-kes perbicaraan yang sedang berjalan.
"Pengumuman pembentukan Kabinet hari ini tiada apa yang mengejutkan. 'Kerajaan Rosak' pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini, benar-benar telah muflis moral apabila kluster mahkamah yang selama ini rakus mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa diangkat ke Kabinet.
"Barisan Kabinet ini adalah suatu cubaan 'memperbodohkan' rakyat. Pada hal, rakyat telah memberi mesej jelas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bahawa mereka mahukan saf kepimpinan politik dan pentadbiran negara yang mendahulukan kepentingan rakyat, mengangkat nilai moral, integriti serta akauntabiliti mengatasi apa jua kepentingan peribadi," katanya melalui satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya pada Jumaat.
Wan Saiful juga mendakwa Anwar telah mengetepikan nilai moral, prinsip, integriti serta akauntabiliti demi kuasa dan takhta.
"Ini suatu lagi bukti jelas bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang politikus matlamat menghalalkan cara, yang sanggup menggadaikan apa sahaja demi kuasa.
"Saya anggap ini adalah satu lagi usaha Anwar Ibrahim untuk mensucikan kluster mahkamah. Saya semakin bimbang sekiranya kes-kes perbicaraan membabitkan kluster mahkamah akan terganggu," ujarnya.
Malah, beliau mendakwa berasa kasihan dengan pengundi yang memilih PH kerana terbukti undi PH akhirnya mereka dapat Zahid Hamidi.