Mana MB Johor di pemukiman pemimpin Malaysia dan Singapura?
Astro Awani
April 9, 2019 14:45 MYT
April 9, 2019 14:45 MYT
Spekulasi Johor bakal menyaksikan pertukaran Menteri Besar semakin mendapat perhatian selepas Datuk Osman Sapian dilaporkan tidak hadir ke Permukiman Pemimpin Malaysia dan Singapura kali kesembilan, yang diadakan selama dua hari bermula Isnin, di Putrajaya.
Sumber dalaman memberitahu Astro AWANI, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal telah mewakili Menteri Besar Johor dalam pemukiman tersebut.
Sebelum ini spekulasi Osman yang juga Adun Kempas bakal digugurkan dari jawatannya atas sebab-sebab tertentu tersebar sejak beberapa bulan lalu.
Pada Isnin, Osman dilaporkan hadir ke Putrajaya untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad namun beliau enggan bertemu wartawan yang menunggu untuk mendapatkan kenyataan berhubung spekulasi digugurkan dari jawatan Menteri Besar.
Media melaporkan Setiausaha Akhbar Osman, Abdul Hakim Ab Rahman memberitahu The Star, pertemuan antara Osman dan Dr Mahathir adalah “mesyuarat berjadual” dan ia sebahagian daripada persiapan Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia Kesembilan.
Sahruddin yang mewakili Osman di pemukiman tersebut juga antara nama yang disebut-sebut bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu. Beliau merupakan Adun Bukit Kepong.
Osman sering menjadi perhatian kerana beberapa insiden yang kurang disenangi antaranya beliau dikritik kerana mengadakan lawatan rasmi ke Pulau Batam, Indonesia ketika krisis pencemaran sisa buangan toksik di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.
Sementara itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Twitternya memaklumkan titah supaya Menteri Besar Johor ditukar telah lama dibuat.
"Kebawah Duli Tuanku sudah meneliti untuk tukar MB sejak berbulan lalu. Jangan lupa, kuasa memilih Menteri Besar adalah hak mutlak Sultan," katanya.
Pada Selasa, Tunku Ismail menerusi twitternya juga berharap agar Menteri Besar baharu nanti bukanlah seorang yang mengikut perintah Putrajaya.
"Saya harap Menteri Besar yang baru bukanlah ”yes man” Putrajaya saja. Kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negeri Johor mesti diutamakan," katanya.