Mampukah Kedah kalih sekali lagi?
Hilal Azmi
Mei 8, 2018 04:45 MYT
Mei 8, 2018 04:45 MYT
“Mai chek oi mai chek mai kita ke negeri Kedah. Mai oi bagi ramai, jamu nasi kawah”
Bait lirik lagu rakyat yang memperkenalkan negeri Kedah sentiasa bermain di kepala tatkala memijak bumi bertuah ini.
Suasana politik Kedah sememangnya rencam, selepas berjaya ‘mencuba rasa’ di bawah kepimpinan Pas pada 2008, dan pemilih kembali kepada Barisan Nasional (BN) pada 2013.
Akan tetapi, suasananya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini lebih menarik memandangkan kesemua 15 kawasan Parlimen dan 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berdepan dengan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru.
Semangat ‘pantang kalah’ yang tersemat di jiwa dan sanubari anak Kedah sentiasa menjadikan mereka berusaha keras dalam memastikan negeri kesayangan mendapat perhatian sewajarnya.
Seramai 1,146,492 pemilih bakal menjalankan tanggungjawab mereka untuk negeri Jelapang Padi ini.
42 peratus daripadanya merupakan mereka yang berumur 39 tahun dan ke bawah.
Sebahagian besar daripada 42 peratus ini bekerja di luar Kedah yang dilihat sebagai penentu kepada keputusan PRU14 kali ini.
Di peringkat akar umbi, sentimen ‘pengambilalihan tugas’ Datuk Seri Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar daripada Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Februari 2016 dilihat menjadi isu besar yang boleh mengganggu pilihan pengundi.
Pada PRU13 lalu, BN berjaya menguasai 21 kerusi DUN diikuti sembilan kerusi oleh Pas, empat PKR manakala dua kerusi oleh DAP.
Di peringkat Parlimen pula, BN berjaya menguasai 10 kerusi manakala PKR empat kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) satu kerusi.
Secara keseluruhannya, kempen yang berlangsung selama 11 hari belum sepenuhnya mampu menterjemahkan kemahuan politik orang Kedah.
Terdapat beberapa perkara menjadi asas pertimbangan mereka, antaranya isu kos sara hidup, isu berkaitan krisis kepimpinan serta masalah dalaman parti yang belum sepenuhnya diselesaikan.
Malah, ada dalam kalangan ahli parti politik yang mengaku akan memilih calon parti lawan.
Ada juga yang langsung tidak mahu bersuara dan ada yang sangat lantang.
“Kami ni dah pernah tukar kerajaan, kalau bertukar macam mana pun, hidup kami dok macam tu jugak,” kata Rosni Husin, 46 tahun, yang ditemui berdekatan Pekan Napoh.
Perlu diingat, Kedah mencatatkan peningkatan lebih 10 peratus pengundi baru mendaftar dengan jumlah 105,424 pengundi jika dibandingkan dengan jumlah pemilih pada PRU13.
Di sini juga ramai yang suka untuk ‘terbang’ tinggi, jadi beberapa kerusi menjadi tumpuan penting untuk kali ini iaitu membabtikan Parlimen Jerlun, Kubang Pasu dan semestinya Langkawi.
Siapa pilihan rakyat Kedah?
Sama-sama kita nantikan.