Mampukah DAP tarik undi orang Melayu?
Sinar Harian
Mei 21, 2023 09:15 MYT
Mei 21, 2023 09:15 MYT
KEBELAKANGAN ini, media sosial banyak memainkan isu akar umbi UMNO perlu memberi sokongan dengan membuang undi kepada calon DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Begitu juga sebaliknya, terdapat juga pimpinan DAP meminta akar umbinya untuk bersama menguatkan Kerajaan Perpaduan dengan memberi sokongan kepada UMNO.
Pelbagai reaksi positif dan negatif dilontarkan warganet terhadap perkara tersebut malahan ada yang mengatakan bahawa ia melanggar dan bertentangan dengan dasar parti.
Namun demikian, menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, tindakan itu wajar untuk dilakukan mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching pula berkata, ahli parti itu perlu mengetepikan perbezaan politik memandangkan langkah itu penting bagi memastikan kestabilan politik sama ada peringkat pusat mahupun negeri.
Dalam masa sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui sukar untuk mengubah 'pegangan' penyokong untuk menerima kehadiran parti DAP sebagai rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan, namun beliau mendakwa ia tidak mustahil dilakukan.
Beliau berkata, hal ini kerana perspektif negatif itu telah diterapkan sejak 22 tahun lalu oleh kepimpinan terdahulu semasa memerintah negara.
Bagaimanapun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gesaan itu disifatkan sebagai sesuatu yang janggal selain bertentangan dengan dasar parti.
Jelasnya yang pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden UMNO, ia terserah kepada penyokong UMNO sama ada mahu menyahut gesaan itu atau sebaliknya.
Sementara itu, penganalisis politik pula menjangkakan bahawa hanya sekitar lima atau enam daripada 10 pengundi UMNO sahaja yang akan memangkah calon DAP pada PRN nanti.
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, ramalan itu berdasarkan permusuhan antara UMNO-DAP yang sudah berlaku sekian lama sebelum kedua-dua parti menjadi sekutu di bawah Kerajaan Perpaduan.
Walau apapun ramalan yang dilakukan sama ada oleh penganalisis, warganet mahupun pemimpin, perkara tersebut hanya dapat dibuktikan semasa PRN kelak.
Sekiranya DAP mampu mendapat undi akar umbi UMNO yang majoritinya Melayu, ini membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan kini benar-benar berada padai landasan yang betul. - Sinar Harian