Malu jika Malaysia jadi hab ekonomi digital, tapi gagal laksana Undi 18 - Muda

Nailah Huda
Mac 11, 2021 21:26 MYT
Muda mengulas mengenai kenyataan Rais bahawa pindaan tersebut tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat meskipun sudah diluluskan Dewan Rakyat. Foto - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut tampil mendesak agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyatakan pendirian jelas berhubung penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.
Dalam satu kenyataan, Muda mengulas mengenai kenyataan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim bahawa pindaan tersebut tidak akan dilaksanakan 'pada musim ini' meskipun sudah diluluskan Dewan Rakyat.
“Ini bercanggah dengan keputusan yang mendapat persetujuan lebih dari dua pertiga Ahli Parlimen yang selari dengan hampir kesemua negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
“Kenyataan Rais juga tidak selari dengan pendirian Menteri Undang-Undang sebelum ini yang memberi jaminan bahawa had umur undi 18 tahun ini akan berjalan selewat-lewatnya pada Julai 2021,” menurut kenyataan Muda.
Sehubungan itu, Muda menggesa supaya kerajaan menyatakan komitmen secara bertulis yang turut memberi tarikh pindaan tersebut akan dilaksanakan seperti yang telah dijanjikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini.
Sebelum ini, Rais dilaporkan berkata, proses pendaftaran bakal pengundi berusia 18 tahun mengambil masa yang terlalu lama dan tidak praktikal untuk diadakan dalam masa terdekat.
Muda bagaimanapun menyifatkan alasan-alasan yang diberikan 'kelihatan cetek dan berbaur dangkal'.
“Agak memalukan sekiranya kerajaan yang mahu mengetengahkan Malaysia sebagai hab ekonomi digital serantau gagal untuk menguruskan isu pendaftaran pengundi baharu yang dikira amat mudah dilakukan pada era digital dan data raya.”
Pada November lalu, Takiyuddin memaklumkan bahawa tarikh pelaksanaan pindaan itu dijangka selewat-lewatnya pada Julai 2021.
#muda #Parti Ikatan Demokratik Malaysia #Undi 18 #Undi18 #18 tahun #Belia #Rais Yatim #Takiyuddin Hassan #Dewan Rakyat #Dewan Negara
;