#MalaysiaMemilih: Warisan tak mampu tawan Sabah - Penganalisis politik
Hilal Azmi
Januari 20, 2018 13:55 MYT
Januari 20, 2018 13:55 MYT
Parti Warisan Sabah (Warisan) dijangka mampu menggugat kedudukan Barisan Nasional (BN) di Sabah, bagaimanapun tidak ada kemampuan untuk tawan negeri itu.
Panel Penyelidik Universiti Malaya yang diketuai Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, gerakan kempen akar umbi yang dibuat BN terutamanya Umno di Sabah mampu mempertahankan kedudukan BN di negeri di bawah bayu itu.
"Kalau nak kata BN boleh menang besar, banyak cabaran yang perlu diharungi.
"BN dilihat boleh menang besar hasil kerja kuat kepimpinan BN terutamanya Umno Sabah dalam semua peringkat yang telah menggerakkan jenteranya sejak tahun lepas," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Jelas beliau, faktor calon yang diterima akar umbi berbanding yang disukai ketua tertinggi parti menjadi antara faktor penentu kejayaan mana-mana parti bertanding di Sabah dalam PRU akan datang.
"Faktor tempatan sangat menentukan kemenangan sesebuah parti.
"Pengundi akan melihat faktor calon itu sendiri, adakah calon itu mesra rakyat, dikenali mereka atau adakah calon itu calon yang diterima oleh mereka.
"Misalnya isu 'Sabah for Sabahan', isu ini banyak dimainkan pembangkang di Sabah khususnya Warisan.
"Jika isu ini tidak diberi perhatian, maka ia juga mampu memberi kesan kepada imaginasi pengundi di Sabah," jelasnya.
Katanya lagi, pemimpin parti juga harus memberi penekanan kepada isu nasional seperti kenaikan harga barangan serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang turut menjadi faktor penentu kepada pengundi di Sabah.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu BN Sabah perlu mempunyai mentaliti 'menang' dalam semua aspek ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
#Astro
#Astro Awani
#Barisan Nasional
#Dr Awang Azman Awang Pawi
#GERAKAN
#MalaysiaMemilih
#Najib Razak
#Panel Penyelidik Universiti Malaya
#UMNO