#MalaysiaMemilih: Salah pilih logo, Pakatan Harapan berdepan undi boikot

Firdaus Azil
Mac 4, 2018 15:46 MYT
Muhamad Nadzri turut menegaskan, walaupun logo itu penting, tetapi kandungan manifesto juga amat penting dalam usaha menambat hati pengundi sewaktu PRU nanti.
Jika tidak berhati-hati dengan pemilihan simbol atau logo pilihan Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum akan datang, silap-silap mereka akan berhadapan dengan undi boikot atau undi rosak, kata Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor.
Beliau berkata, keputusan pemilihan logo itu harus ditangani sebaik mungkin, terutamanya oleh jentera penerangan PH sendiri, kerana tanggapan akar umbi parti masing-masing mungkin berbeza dengan aspirasi kepimpinan gabungan itu.
“Kita kena faham risiko dan peluang yang Pakatan ada hari ini, sebab Pakatan bukan sekadar berhadapan dengan Barisan Nasional, tetapi juga parti pemerintah. Daripada aspek itu mereka punya langkah dan strategi mungkin ada limitasi.
“Katakan limitasi mereka terpaksa memilih satu, so terpaksalah begitu. Cuma dia akan membawa kepada mungkin undi tidak puas hati, ‘spoiled vote’, undi rosak dan sebagainya daripada segelintir pengundi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Muhamad Nadzri berkata demikian apabila mengulas mengenai pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa gabungan pembangkang itu mungkin terpaksa menggunakan logo atau simbol daripada komponen PH seandainya Pendaftar Pertubuhan (RoS) masih belum meluluskan logo asal mereka.
BACA: Hanya logo PKR sesuai digunakan untuk wakili Pakatan Harapan – Penganalisis
BACA: Keputusan PH guna satu logo parti itu berani, tapi berisiko - Ilham Centre
BACA: Lihat rekod pencapaian, bukan logo
Mengulas lanjut, Muhammad Nadzri berkata, adalah lebih baik sekiranya Pakatan menggunakan logo yang neutral, tetapi masih menggambarkan aspirasi keseluruhan perjuangan mereka.
“Cadangan lebih baik untuk mereka terus berusaha dapatkan logo yang merangkumi semua, sesuai dengan struktur parti mereka, Pakatan Harapan, sebagaimana BN, tak guna guna mana mana logo parti komponen waima UMNO sendiri,” katanya lagi.
Muhamad Nadzri turut menegaskan, walaupun logo itu penting, tetapi kandungan manifesto juga amat penting dalam usaha menambat hati pengundi sewaktu PRU nanti.
“Tak nafi manifesto sangat penting sebenarnya sebab orang hari ini, ada orang yang rasional dan bijaksana, jadi mereka menilai kekuatan parti, janji-janji parti termasuk manifesto.
“Tentu sekali manifesto sangat penting, mana yang paling dekat dengan keperluan, kehendak mereka khasnya dalam meningkatkan standard kehidupan, kurangkan kos sara hidup, rumah mampu milik, pekerjaan dan sebagainya,” tambahnya.
#Astro Awani #Barisan Nasional #logo #Malaysia #Malaysia Memilih #Pakatan Harapan #pilihan raya umum #politik #PRU
;