#MalaysiaMemilih: PKR Selangor sangsi keupayaan sekutu?
Firdaus Azil
Februari 5, 2018 13:35 MYT
Februari 5, 2018 13:35 MYT
Hasrat PKR Selangor untuk bertanding majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seolah-olah menidakkan keupayaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk mempertahankan negeri itu daripada jatuh ke pihak lawan.
Selain itu, kata ketua Panel Penyelidik Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, keyakinan PKR Selangor yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempunyai asas kerana jentera parti itu sudah bertapak lama berbanding PPBM dan Amanah yang dikira baru ‘setahun jagung’.
“PKR (negeri) dilihat cuba membuat keputusan secara sendirian, kerana mereka rasakan mereka paling layak untuk bertanding.
"Hal ini difahami kerana Amanah dan PPBM parti baru, jadi mereka lihat kekuatan itu tidak setanding dengan kekuatan yang ada dengan PKR Selangor,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kemelut pembahagian kerusi Selangor yang dilihat tidak berkesudahan walaupun PRU14 semakin hampir.
Pengerusi Amanah Selangor Izham Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, tiada perbincangan berhubung pengagihan kerusi DUN Selangor, dan PKR hanya berbincang sesama sendiri tanpa bersama parti lain.
Namun Mohamed Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa, membidas kenyataan itu dengan mengatakan Amanah tidak ‘amanah’.
Beliau sebaliknya mendakwa sudah empat kali perbincangan diadakan sesama komponen Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
Bagaimanapun kenyataan Timbalan Presiden PKR itu ditempelak oleh pemimpin DAP negeri, Ronnie Liu, yang mengatakan Mohamed Azmin tidak berkata benar, serta tidak layak untuk memimpin Pakatan Harapan Selangor.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, tindakan berbalas kenyataan melalui media ini akan menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat, khususnya pengundi di Selangor sendiri.
“Bila perbalahan berlaku, orang akan anggap PH tidak ampuh, tetapi rapuh kerana perkara asas seperti pembahagian kerusi pun bergaduh di media massa.
"Ini mengikis kepercayaan rakyat terhadap PH. Belum bentuk lagi kerajaan sudah bergaduh,” katanya lagi.
Untuk rekod, PKR kini menguasai 13 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Selangor, manakala DAP memiliki 14 kerusi, dan Amanah dua kerusi.
Pas, yang kini tiada lagi pertalian politik dengan bekas sekutunya dalam Pakatan Rakyat, memiliki 13 kerusi, manakala di sisi Barisan Nasional pula, terdapat 11 kerusi yang kesemuanya dikuasai UMNO.
#ADUN
#Astro Awani
#Azmin Ali
#Barisan Nasional
#DAP
#Mahathir Mohamad
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#Menteri Besar
#Pakatan Harapan
#Pakatan Rakyat
#Parti Amanah Negara
#PAS
#PKR
#politik
#PPBM
#PRU
#UMNO