#MalaysiaMemilih: Pengundi Permatang Pauh mahu calon tempatan

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 6, 2018 08:03 MYT
Amir menaruh harapan dengan calon Ahli Parlimen dalam PRU14 nanti untuk tidak prejudis dalam menjaga kebajikan rakyat. - Astro AWANI
Pengundi di Permatang Pauh mahu calon wakil rakyat yang tidak amalkan pilih kasih.
Amir Jamaluddin, 37 tahun, menaruh harapan dengan calon Ahli Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti untuk tidak prejudis dalam menjaga kebajikan rakyat.
Katanya, sebagai anak jati Permatang Pauh, kemudahan infrastruktur dan pembangunan sedia ada di kawasan itu sudah cukup selesa.
"Kalau boleh, anak muda di sini mahu perubahan ekonomi dan taraf hidup yang dipertingkatkan.
"Bagi saya, beban kos sara hidup yang tinggi bukan beban saya seorang saja, tetapi beban semua orang," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh menjadi kerusi panas yang menjadi kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dijangka bakal berdepan pertembungan tiga penjuru selepas PAS mahu menamakan calon untuk bertanding di kerusi sama.
Walau siapa pun yang bertanding, Amir menganggap wakil rakyat perlulah orang tempatan yang faham akan keperluan penduduk di kawasan terbabit.
"Kalau boleh, sesiapa pun kerajaan yang terbentuk selepas PRU14 nanti, kami nak minta kaji semula cukai barang dan perkhidmatan, GST.
"Kalau boleh, wakil rakyat tu tengok sama rakyat yang susah," katanya lagi.
Turut berkongsi pandangan, Mohd Yusof Sudin, 44 tahun, yang melihat faktor ekonomi menjadi agenda penting untuk diselesaikan wakil rakyat di kawasan Permatang Pauh.
Bapa kepada empat cahaya mata berkata, wakil rakyat dan kerajaan harus faham bahawa rakyat mahu perubahan besar dalam menstabilkan ekonomi setempat.
"Harapan saya, wakil rakyat perlu tumpu kepada masalah ekonomi rakyat.
"Macam kami sekarang ni, gaji berapa ringgit saja, ada yang terpaksa berhutang biarpun dah masuk umur 60 tahun," katanya.
#Astro #Astro Awani #MalaysiaMemilih #Parti Keadilan Rakyat #Permatang Pauh #PKR #PRU14
;