#MalaysiaMemilih: Maria Chin bertanding sebagai calon PH bukti Bersih 2.0 alat pembangkang - Rizal Mansor
Astro Awani
Mac 5, 2018 07:20 MYT
Mac 5, 2018 07:20 MYT
Keputusan Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Maria Chin bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai calon Bebas Pakatan Harapan (PH) membuktikan pertubuhan bukan kerajaan yang diterajuinya alat pembangkang.
Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berkata selain Maria, keputusan bekas Pengarah Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga membuktikan NGO itu sebenarnya condong kepada pembangkang.
PKR dilaporkan menawarkan kerusi parlimen Petaling Jaya Selatan kepada Maria untuk ditandingi pada PRU14.
"Masakan secara tiba-tiba Maria mendapat tempat istimewa di hati PKR kalau bukan kerana 'sumbangan' beliau dalam merencanakan fitnah terhadap UMNO, BN dan juga SPR selama ini.
"Begitu juga dengan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang kononnya selama ini badan pemikir bebas tetapi hari ini CEOnya, Wan Saiful Wan Jan pula menyertai PPBM.
"Kalau selama ini analisanya dianggap hebat dan mahu membuka mata rakyat, tetapi hari ini semua tahu Wan Saiful hanya macai pembangkang untuk menjadi alat propaganda memburuk-burukkan kerajaan sedia ada," kata Rizal dalam satu kenyataan.
Justeru Rizal menyeru pengundi terutama orang Melayu akan tidak terpedaya dengan 'lakonan' yang dipamerkan oleh pakatan pembangkang dan menilai dengan sebaiknya apa yang dilakukan Pakatan Harapan.
Maria sebelum ini mengumumkan akan akan meletakkan jawatannya sebagai pengerusi Bersih 2.0 untuk bertanding pada PRU14 dan akan mengumumkan parti yang bakal disertainya pada sidang media hari ini (Selasa).
Minggu lalu, Wan Saiful secara rasmi mengumumkan penyertaannya ke dalam PPBM dan meninggalkan Pas yang dianggotai sejak masih menuntut di United Kingdom.
#Amanah
#Barisan Nasional
#Berjasa
#Bersih 2 0
#DAP
#Gagasan Sejahtera
#idea
#Ikatan
#Malaysia
#Maria Chin
#MCA
#MIC
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#PAS
#PCM
#PKR
#PPBM
#Rizal Mansor
#UMNO
#Wan Saiful Wan Jan