#MalaysiaMemilih: Hasrat Pas bentuk sendiri kerajaan persekutuan 'angan-angan Mat Jenin' - Tun M

Firdaus Azil
Januari 23, 2018 17:04 MYT
"Realitinya, PAS kadang-kadang hanya menang satu kerusi Persekutuan tetapi mereka masih ada cita-cita tinggi" - Tun M
Cadangan Pas untuk bertanding 130 kerusi parlimen, seterusnya membentuk kerajaan persekutuan sendiri, ibarat ‘angan-angan Mat Jenin’, kata Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya secara berseloroh, memanglah Pas itu parti yang mempunyai pengalaman memerintah sendiri negara ini, katanya kepada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.
“Realitinya, Pas kadang-kadang hanya menang satu kerusi Persekutuan tetapi mereka masih ada cita-cita tinggi mahu bertanding lebih 100 kerusi jadi, biarkan mereka bertandinglah,” katanya, yang juga merupakan calon perdana menteri pilihan Pakatan Harapan, seandainya gabungan pembangkang itu mendapat mandat rakyat, sewaktu Pilihan Raya Umum akan datang.
Baru-baru ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan sebagai berkata, parti itu perlu bertanding sekurang-kurangnya untuk mendapatkan majoriti mudah, dan bukan lagi dilihat sebagai pembangkang yang lemah.
Selain itu, katanya lagi, Pas juga mensasarkan untuk merampas Selangor daripada tangan PKR seterusnya menunjukkan model kepimpinan Islam bagi menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.
Pada PRU yang lepas, parti itu bertanding 73 kerusi parlimen, namun hanya berjaya mendapat 21 daripadanya.
Mengulas lanjut, Tun Dr Mahathir mendakwa, hasrat Pas itu menunjukkan mereka hanya ingin mengakibatkan undi pecah belah di kalangan pengundi Melayu dan Islam, seterusnya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.
#Abdul Hadi Awang #Barisan Nasional #Islam #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #Parlimen #PAS #pilihan raya umum #PKR #PRU #Putrajaya
;