#MalaysiaMemilih: Gerak kerja Puteri UMNO perlu agresif - Normala
Astro Awani
Februari 6, 2018 16:13 MYT
Februari 6, 2018 16:13 MYT
Semua bilik gerakan Puteri UMNO di negeri ini wajar dijadikan jambatan serta agresif dalam melaksanakan gerak kerja supaya memberi impak bermakna kepada perjuangan untuk rakyat sekali gus pengukuhan parti.
Ketua Puteri UMNO Sabah, Normala Rasik berkata, semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan Bilik Gerakan Puteri UMNO seluruh bahagian supaya melakukan gerak kerja yang lebih mantap serta tersusun dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Jentera Puteri UMNO di seluruh bahagian tidak perlu memikirkan soal bila PRU14 akan diadakan tetapi wajar melakukan gerak kerja seperti sesi penerangan, sesi kerja-kerja kebajikan, sesi memungut serta menyelesaikan masalah rakyat.
"Gerak kerja jentera PDM Puteri UMNO bahagian perlu turun padang dan mendekati pengundi muda di setiap program. Pastikan kerja satu pasukan bersama-sama dengan Pergerakan Wanita UMNO dan Pemuda UMNO di bahagian," katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusi Mesyuarat Bulanan Pertama Pergerakan Puteri UMNO Sabah di Bilik Mesyuarat, Bangunan UMNO Sabah.
Normala yang juga Exco Puteri UMNO Malaysia mahu jentera pilihan raya dan bilik gerakan yang ditubuhkan di peringkat Daerah Mengundi sentiasa mengemas kini data mengenai status pengundi di kawasan masing-masing.
Katanya, ini penting bagi membolehkan pihaknya mengetahui kedudukan pengundi di sesuatu kawasan, sikap dan penerimaan mereka terhadap kerajaan serta parti pembangkang selain profil pengundi yang berada di luar daerah.
"Saya mahu jentera-jentera pilihan raya yang diwujudkan di peringkat cadangan dan daerah mengundi sentiasa bekerja keras melakukan persiapan yang perlu," katanya.