#MalaysiaMemilih: BN boleh menang di Kedah, tapi...

Syakirah Zulkifly
Februari 22, 2018 22:36 MYT
Menurut kaji selidik yang dijalankan UUM, pengundi muda di Kedah sudah 'muak' dengan muka calon sedia ada. - BERNAMA/Fail
Barisan Nasional (BN) perlu tampilkan muka baharu sebagai calon untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika berhasrat untuk mengekalkan kedudukannya di Kedah.
Menurut kaji selidik yang dijalankan Universiti Utara Malaysia (UUM), pengundi muda sudah 'muak' dengan muka calon sedia ada.
Pensyarah Kanan UUM, Prof Dr Rohana Yusof berkata, calon baharu yang ingin bertanding mestilah penduduk tempatan, umur yang lebih muda, berpendidikan tinggi dan mempunyai aspirasi dalam pembangunan negeri Kedah.
"Kita mempunyai calon yang sudah lama bertanding tapi kita juga mempunyai pengundi baharu yang mahu sesuatu yang baharu terutama pengundi muda. Saya fokus kepada isu kepentingan pengundi muda.
"Apa yang pengundi muda inginkan adalah calon yang mempunyai gaya fikiran yang sama dengan mereka, walaupun kebiasaannya calon lama yang boleh menerajui setiap ADUN atau Ahli Parlimen," kata Rohana pada persidangan meja bulat "Pra PRU14: BN Kekal Atau...??" anjuran Majlis Profesor Negara di sebuah hotel di sini.
Katanya, ini memandangkan calon dipertandingkan sebelum ini adalah calon yang sama mewakili PRU melebihi tiga kali dan membuatkan pengundi bosan melihat prestasi mereka yang tidak begitu memuaskan.
Menurutnya juga, calon baharu akan lebih bekerja keras untuk membuktikan kepada pengundi yang dia layak mewakili ADUN di negeri itu dalam melonjakkan pembangunan untuk kebaikan rakyat.
Tambahnya lagi, jika BN masih dalam keadaan bimbang dan takut untuk mengubah, gabungan itu mungkin tidak dapat mempertahankan kedudukannya pada PRU akan datang di negeri itu.
Rohana berpendapat, pada pilihan raya kali ini, setiap ADUN dan Ahli Parlimen harus merujuk kepada pengundi di kawasan masing-masing untuk menambah idea, pengetahuan politik dan perkembangan persepsi dalam pembangunan di Kedah.
Persidangan meja bulat itu menghimpunkan para ahli akademik bagi mengupas isu-isu penting menjelang PRU14 dengan memberi fokus kepada keupayaan parti-parti yang bakal bertanding dalam mengekalkan kerusi di kawasan masing-masing.
#ADUN #Barisan Nasional #BN #calon PRU14 #Kedah #Parlimen #pilihan raya #pilihan raya umum #Politik Malaysia #PRU #PRU14
;