Malaysia2020: Mandat kini diberikan kepada calon, bukannya parti
Isabelle Leong
Februari 25, 2020 15:29 MYT
Februari 25, 2020 15:29 MYT
Mandat yang diberikan oleh rakyat tidak lagi mempunyai kaitan dengan koalisi ataupun pakatan, sebaliknya kepada Ahli Parlimen.
Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan, UTM Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, dalam Akta Pilihan Raya dan Perlembagaan Undang-undang, ia juga menyebut tentang calon dan bukannya parti.
“Terdapat empat lapis mandat dalam sistem pilihan raya. Yang pertama, ada yang mengundi kerana calon dan ini bermaksud mandat yang diberikannya betul-betul kepada wakil rakyat yang dipilih.
“Yang kedua, ada yang undi kerana parti. Mereka menunjukkan kesetiaan kepada ideologi parti tersebut.
“Ketiga pula, ada yang mengundi kerana koalisi manakala keempat pula, ada yang undi kerana calon Perdana Menteri,” katanya apabila menjadi panel pada Buletin AWANI Khas pada Selasa.
Beliau juga berkata, wakil parti tidak layak untuk bercakap mengenai mandat pada ketika ini kerana rakyat yang mengundi tidak semestinya mengundi kepada parti, sebaliknya kepada calon dalam parti berkenaan.
“Sistem pilihan raya kita berasaskan calon, bukannya parti.
“Jika rujuk kepada Akta Pilihan Raya, ia tidak menyebut perkataan parti, ia menyebut calon.
“Bahkan entiti parti itu sendiri juga tidak dikawal di bawah pengurusan Pilihan Raya kerana ia dikawal di bawah Akta Pertubuhan,” tambahnya.
Justeru, katanya, perkataan mandat tidak lagi relevan dalam situasi politik sekarang kerana pakatan kini sudah berakhir.
Bagaimanapun, mandat yang diberikan kepada Ahli Parlimen masih wujud.