Malaysia perlu iktiraf pemimpin muda - Penganalisis politik
Eton Khir
November 22, 2021 07:49 MYT
November 22, 2021 07:49 MYT
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Malaysia mengiktiraf kedudukan anak muda yang mempunyai kewibawaan, ketokohan, dan kepakaran daripada pelbagai latar belakang termasuk kesaksamaan jantina bagi membuka peluang yang boleh diraih dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) akan datang.
Menurut Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, langkah memperkenalkan calon baharu adalah satu tawaran baharu, penjenamaan baharu yang sebenarnya bersesuaian dengan perubahan politik arus perdana tanah air.
Jelasnya, inisiatif yang dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) ini merupakan satu bentuk pengorbanan untuk mereka yang berada di dalam hierarki rendah diangkat sebagai calon manakala mereka yang berada di kedudukan tertinggi pula untuk terus dihormati.
"Bagi calon muda, ini masanya untuk menunjukkan bahawa walaupun ada pelbagai latar yang menarik, tetapi itu harus didukungi oleh kemampuan untuk menang, untuk disukai, untuk berdamping dengan pengundi kerana akhirnya yang penting dalam pilihan raya adalah seorang calon yang digemari oleh majoriti pengundi di situ," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Kata Sivamurugan lagi, mana-mana parti politik termasuk Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan Parti Amanah Negara (Amanah) juga harus menghalusi selain meneliti keperluan memperkenalkan calon-calon muda dan baharu.
Tambahnya, tindakan ini tidak bermakna menolak calon-calon lama sepenuhnya, namun jika dilihat dalam perspektif positif, ia sebenarnya akan mewujudkan satu komposisi yang seimbang.
"Tetapi di kawasan calon baharu diperkenalkan, calon muda itu mestilah seorang calon yang berkelayakan, ada ketokohan, ada kemampuan yang disegani oleh penduduk setempat.
"Maka itu juga akan memberi nilai tambah kepada Parti Islam Se-Malaysia dan Parti Amanah Negara sekalipun supaya ia mampu menarik sebilangan dari blok sokongan yang ada di kawasan tersebut," katanya lagi.
Sivamurugan turut menegaskan, jika langkah drastik seperti ini diambil apatah lagi dengan adanya UNDI18, pasti pilihan raya akan datang bakal disesuaikan dengan keperluan dan kemahuan bagi memahami sikap dan cara pemikiran di dalam kalangan pengundi itu sendiri.
Di samping itu, Sivamurugan berkata ini penting kerana kita juga mahu melihat perubahan secara berterusan dilakukan supaya calon yang diperkenalkan itu menampakkan kesesuaian dengan perubahan dalam konteks politik secara menyeluruh.