Majoriti BN di Mahkota boleh bertambah jika jentera bekerja secara tersusun - Ahmad Zahid
Bernama
Ogos 23, 2024 07:15 MYT
Ogos 23, 2024 07:15 MYT
KUALA LUMPUR: Majoriti yang bakal diperoleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak mustahil boleh bertambah sekiranya semua jentera parti melakukan gerak kerja secara tersusun, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu, yang yakin parti berkenaan mampu mempertahankan kerusi tersebut, berkata kemenangan dengan majoriti lebih besar berbanding sebelum ini adalah penting terutama ke arah menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan tahun depan.
"Apabila faktor wow telah dapat kita wujudkan, bukan hanya sekadar Nenggiri saya yakin di Mahkota juga kalau kita bekerja secara tersusun dan berstruktur sebagaimana kita bantu calon kita di Nenggiri, kelebihan majoriti di Mahkota pasti akan meningkat lebih daripada 5,000 undi.
"Ini akan mewujudkan satu gelombang dukungan terhadap parti kita. Bacaan saya, Insya-Allah PRN Sabah akan berlaku dalam suku pertama tahun hadapan. Kalau gelombang yang ada di Nenggiri dan merentasi negeri lain hingga ke Johor, Insya-Allah gelombang itu pasti kita akan bawa ke Sabah," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024, di sini, malam tadi.
Semasa PRN Johor pada 2022, penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang juga Ketua Wanita UMNO Kluang, menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Muhammad Tagiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).
Kerusi DUN Mahkota kosong selepas Sharifah Azizah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di Kluang pada 2 Ogos lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 28 Sept manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept ini.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri turut meminta setiap ahli terutama sayap Pemuda dan Puteri agar lebih aktif menangani isu tempatan dan nasional dengan lebih berkesan, termasuk yang dibangkitkan di media sosial, dalam usaha meraih sokongan pengundi. - BERNAMA