Majlis Setiausaha PH desak Hishammuddin henti tampil idea kerajaan tanpa DAP, Amanah

Bernama
Oktober 15, 2019 04:03 MYT
Sebarang cubaan 'nakal' untuk mengembalikan politik sedemikian setelah kita menggerak perubahan pada 9 Mei tahun lepas adalah langkah 'terkebelakang' yang tidak akan dirakam. - Gambar fail
Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) mendesak bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghentikan kempen yang cuba menampilkan idea kerajaan tanpa penyertaan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan bersama berkata pihaknya berpegang teguh kepada muafakat PH yang dipersetujui parti komponen PH dan kekal bersatu dalam kerajaan yang turut dianggotai Parti Warisan Sabah dalam Kabinet.
Menurut kenyataan itu lagi, politik dan pentadbiran berasaskan kaum merupakan politik usang yang bercanggah dengan politik inklusif dipelopori PH.
"Sebarang cubaan 'nakal' untuk mengembalikan politik sedemikian setelah kita menggerak perubahan pada 9 Mei tahun lepas adalah langkah 'terkebelakang' yang tidak akan dirakam, hatta di nota kaki sejarah sekalipun.
"Bahkan ia memberi peluang kepada para kleptokrat dan kuncu-kuncu mereka untuk kembali bertakhta," menurut kenyataan bersama itu, di sini Selasa.
Kenyataan itu ditandatangani Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Amanah Datuk Anuar Tahir dan Setiausaha DAP Anthony Loke Siew Fook.
-- BERNAMA
#Anthony Loke Siew Fook #anuar tahir #DAP #Hishammuddin Hussein #kerajaan #Malaysia Baharu #Pakatan Harapan #Parti Amanah Negara #Parti Warisan Sabah #PKR #Saifuddin Nasution
;