Majlis Rumah Terbuka Madani bukan bermotif politik - Fahmi

Adie Sufian Zulkefli
April 29, 2023 16:53 MYT
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ketika ditemui media selepas hadir Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Alor Setar hari ini. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di enam negeri bukan bermotifkan politik sebaliknya ia merupakan alternatif Kerajaan Perpaduan untuk mendengar keluh-kesah rakyat tanpa batas.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata pendekatan itu juga akan membolehkan kerajaan memahami masalah rakyat dengan lebih baik.
"Pertama, (penganjuran) majlis ini adalah untuk mendekati rakyat dan memahami rakyat tanpa ada batas, apa masalah yang dihadapi rakyat dan itu adalah stail Perdana Menteri kita.
"Dan setelah mendengar kegelisahan di kalangan rakyat, saya pasti Perdana Menteri akan mengarahkan Kabinet untuk segera menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di negeri-negeri yang beliau kunjungi," katanya.
Fahmi ditemui ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Hotel Raia di Alor Setar, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pemantau pilihan raya, Bersih yang meminta undang-undang penggunaan sumber kerajaan diperketatkan ekoran kontroversi penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri yang didakwa berunsur politik.
Pengerusi Bersih, Thomas Fann dilaporkan berkata penganjuran majlis rumah terbuka raya di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri dalam beberapa bulan lagi bukan satu kebetulan.
Katanya, dalam konteks itu pembangkang mempunyai asas apabila mendakwa penganjuran majlis berkenaan mempunyai elemen pembaziran dan bermotifkan politik.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata pihaknya terbuka mendengar pandangan semua pihak termasuk Bersih.
"Maklumat perlu tepat (mengenai) perbelanjaan, saya bagi contoh bagi tiga negeri yang mana kerajaan negerinya bersama dengan Kerajaan Persekutuan maka diuruskan oleh kerajaan-kerajaan negeri itu dan perkara ini telah di jelaskan oleh pejabat Perdana Menteri ataupun Jabatan Perdana Menteri sendiri.
"Bagi tiga negeri yang lain ia diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan, (sekiranya) di Seri Perdana sukar bagi mereka yang tinggal Kedah untuk datang bersama. Jadi niat Perdana Menteri sebagai seorang yang sangat berjiwa rakyat, dia bukan retorik. Itu adalah realiti beliau," katanya lagi.
Sementara itu, Fahmi berkata pihaknya berharap Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang berlangsung di Kedah dapat mengeratkan lagi hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, suasana yang dilihat pada rumah terbuka itu sangat positif dan meriah selain kehadiran Perdana Menteri yang turut beramah mesra menyantuni pengunjung.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut berkenan mencemar duli berangkat hadir memeriahkan majlis berkenaan.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta barisan jemaah menteri lain.
#Rumah Terbuka Malaysia Madani #Anwar Ibrahim #Fahmi Fadzil #bermotif politik
;