Majlis Presiden PH akan bincang soal kerjasama dengan BN - Saifuddin
Hilmi Malik
Januari 3, 2023 14:26 MYT
Januari 3, 2023 14:26 MYT
KAJANG: Soal kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi berdepan beberapa lagi siri pilihan raya berkemungkinan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 7 Januari ini.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya percaya perkara itu akan dibincangkan termasuk ‘post mortem’ Pilihan Raya Umum (PRU15) baru-baru ini.
Selain itu, Saifuddin berkata mesyuarat juga dijangka turut menyentuh mengenai persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri yang dijangka berlangsung kurang daripada tempoh enam bulan.
“Majlis Presiden PH akan adakan mesyuarat pertama tahun ini pada 7 Januari jam 4 petang di pejabat Keadilan. Saya percaya perkara itu (kerjasama PH dan BN) akan dibincangkan.
“Kita akan berikan tumpuan kepada PRN enam negeri dan kesemua ini akan dibincangkan pada 7 Januari,” katanya ketika sidang media selepas hadir lawatan rasmi di Penjara Kajang pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung kerjasama itu pada Isnin.
Menurut Guan Eng, susulan penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, ia dengan sendirinya akan membawa kepada kerjasama di peringkat negeri, sama seperti di Perak dan Pahang.
Guan Eng dalam masa sama berpendapat, kedudukan Kerajaan Perpaduan ketika ini secara prinsipnya juga akan mewujudkan kerjasama politik perpaduan.