Majlis Presiden Pakatan Harapan batal mesyuarat hari ini

Astro Awani
Disember 17, 2020 15:52 MYT
Pembatalan itu dibuat tidak lama selepas Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bersama yang menggesa gabungan itu membuat satu anjakan politik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dijadualkan berlangsung petang ini di Parlimen dibatalkan saat akhir, kata beberapa Ahli Parlimen gabungan itu kepada wartawan, di sini.
Mesyuarat itu sepatutnya diadakan selepas pembangkang gagal menyekat Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat pada Selasa.
Pembatalan itu dibuat tidak lama selepas Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bersama yang menggesa gabungan itu membuat satu anjakan politik untuk menyatukan seluruh blok pembangkang.
Dua pemimpin kanan PH itu menegaskan, sudah tiba masanya untuk seluruh blok pembangkang bersatu demi membina kekuatan bersama yang ada atas landasan perjuangan bersama.
Mohamad dan Guan Eng berkata, undian Belanjawan 2021 Selasa lalu mengajar PH supaya tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang dan tidak perlu membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan yang oportunis.
Selasa lalu Belanjawan 2021 diluluskan dengan majoriti tipis sebanyak tiga undi apabila 111 ahli Parlimen menyokong manakala 108 lagi menolak.
Belanjawan 2021 diluluskan di tengah-tengah kemelut negara yang menjangkakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang apabila Belanjawan 2021 ditolak.
Sehari sebelum bacaan kali ketiga berlangsung di Dewan Rakyat, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tampil menawarkan diri untuk menerajui negara jika PN tumbang.
Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO turut mengulangi pendiriannya untuk menolak belanjawan tersebut.
Dalam pada itu, Guan Eng dan Mohamad berkata, Selasa lalu adalah hari yang mengecewakan bagi pemimpin dan penyokong PH, yang berharap Belanjawan 2021 dapat dikalahkan pada bacaan ketiga di Parlimen.
Ia bagi membolehkan PH menuntut kembali mandat rakyat yang dimenangi pada pilihan raya 2018.
#Majlis Presiden #Pakatan Harapan #Amanah #DAP #Mohamad Sabu #Lim Guan Eng #PKR #Warisan #Pejuang
;