Majlis Presiden belum bincang hasrat MUDA sertai PH - Fahmi Fadzil

Sinar Harian
September 7, 2022 21:46 MYT
Fahmi (tiga, kiri) ketika sidang akhbar Rapat Mega Keadilan di ibu pejabat PKR, pada Rabu. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) belum berbincang mengenai hasrat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyertai gabungan itu.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, fokus utama mesyuarat Majlis Presiden PH kini lebih kepada rundingan agihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, tiada kenyataan rasmi mengenai hasrat parti MUDA itu sebaliknya kenyataan tersebut hanya dibuat melalui media pada Selasa.
"Setakat mesyuarat terakhir (Majlis Presiden), perkara itu tidak dibincangkan. Saya secara peribadi mengetahui niat, permohonan MUDA itu melalui media. Setakat ini, kami belum ada sebarang hitam putih, mungkin Setiausaha PH boleh memberikan penjelasan lebih lanjut," katanya pada sidang akhbar Rapat Mega Keadilan di ibu pejabat PKR, pada Rabu
Fahmi mengulas kenyataan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa parti itu sebulat suara bersetuju untuk menyertai PH sebagai salah satu parti gabungan.
Menurut Syed Saddiq, pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, Fahmi ketika mengulas berkenaan agihan kerusi memaklumkan, hasil rundingan tersebut dijangka selesai dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.
Tambahnya, selepas keputusan dicapai pimpinan parti gabungan bebas untuk mengumumkan senarai calon PRU15 masing-masing. - Sinar Harian
#muda #Pakatan Harapan #Fahmi Fadzil #belum bincang
;