Majlis pengumuman calon BN Terengganu pagi ini tidak dibatalkan

Astro Awani
April 22, 2018 08:53 MYT
Penafian dibuat berikutan tular di media sosial bahawa majlis itu ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Pejabat Menteri Besar Terengganu mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan bahawa majlis pengumuman calon bagi negeri itu yang bakal berlangsung esok ditangguhkan.
Ia dihantar kepada media melalui aplikasi WhatsApp jam 11.45 malam pada Sabtu.
Penafian dibuat berikutan tular di media sosial bahawa majlis itu ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Berita berkenaan mendakwa Barisan Nasional (BN) Terengganu menangguhkan majlis pengumuman calon-calon yang akan bertanding di 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kenyataan palsu yang memetik sumber timbalan pengerusi BN negeri, Datuk Seri Jailani Johari sebagai berkata, tarikh baru majlis itu akan dimaklumkan kemudian selepas mendapat persetujuan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam pada itu, Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Terengganu Zalina Maizan Ngah berkata pihaknya menyedari penyebaran berita palsu terbabit tular di aplikasi WhatsApp dan Facebook pada lewat malam Sabtu dengan menyebut Bernama sebagai sumber.
Bernama menafikan penyiaran berita berkenaan penangguhan pengumuman calon BN Terengganu seperti yang dijadualkan .
Justeru, pejabat menteri besar mengesahkan majlis pengumuman calon BN bagi negeri Terengganu akan berlangsung seperti yang dijadualkan iaitu pada 22 april 2018 (Ahad) jam 10.30 pagi di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu.
#Barisan Nasional #BN #ditangguhkan #majlis pengumuman calon #Pejabat Menteri Besar #terengganu #WhatsApp
;