Majlis Pemulihan Negara bantu struktur semula politik - Mukhriz

Kenyataan Media
Jun 15, 2021 00:20 MYT
Mukhriz berkata, beliau impikan suasana politik yang tidak toksik, dengan parti yang memerintah dan yang membangkang tidak bertelagah seolah hilang kewarasan. - Gambar fail
1. Saya impikan tanah air kita, Malaysia, bebas COVID-19; tiada lagi jangkitan baharu setiap hari; tiada lagi kematian akibat wabak ini; hospital tidak lagi sarat dengan pesakit yang sesak nafas dan nazak; frontliners yang tidak lagi tertekan merawat ribuan pesakit; vaksin yang mencukupi untuk semua penduduk, baik di bandar mahupun di kampung; imuniti kelompok yang berjaya menyekat penularan wabak ini.
2. Saya impikan ekonomi negara pulih seperti sediakala. Perniagaan kecil dan besar beroperasi macam biasa; peniaga boleh cari makan, tiada lagi PKP dengan SOP ketat menyekat pergerakan, tiada lagi sekatan jalan raya, tidak perlu lagi mendapatkan permit untuk merentas daerah atau negeri. Rakyat boleh menyara hidup tanpa sekatan, tidak lagi perlu menagih simpati dan mengharapkan sumbangan demi sesuap nasi.
3. Saya impikan sekolah-sekolah kita dibuka semula. Anak-anak dapat ke sekolah, tidak perlu lagi berebut telefon ayah untuk mengikuti pembelajaran atas talian di rumah. Guru-guru tidak tertekan untuk mengajar secara maya. Kohort pelajar kita tidak ketinggalan akibat penutupan sekolah atau tiada capaian khidmat jalur lebar. Semua mendapat perkhidmatan jalur lebar setara dan boleh menimba ilmu dengan efektif.
4. Tidak kurang pentingnya, saya juga impikan suasana politik yang tidak toksik. Parti yang memerintah dan yang membangkang tidak bertelagah seolah hilang kewarasan. Bahas isu-isu penting secara berilmiah dan profesional dengan tujuan bersama untuk selesaikan masalah rakyat. Ada ketika setuju, ada ketika tidak tetapi sentiasa beradab dan menghormati perbezaan pendapat. Tidak mengapa, dokong sahaja konsep setuju untuk tidak setuju sekalipun tidak mencapai persetujuan. Saya impikan Dewan Rakyat yang ahli-ahlinya sedar akan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat. Mereka ikhlas mewakili rakyat, membawa suara dan berkhidmat untuk selesaikan masalah rakyat serta tidak sekali-kali mengkhianati kepercayaan pengundi yang meletakkan mereka di Parlimen.
5. Untuk merealisasi impian itu, rasuah perlu diperangi habis-habisan. Tidak mungkin ia tercapai sekiranya gejala salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah menjadi kebiasaan yang diterima masyarakat. Institusi Kerajaan perlu amanah menguatkuasakan undang-undang untuk membasmi negara dari najis ini. Tiada masa depan jika barah ini dibiarkan merebak dan menguasai hidup kita.
6. Persoalannya, dapatkah harapan kita ini dicapai dalam keadaan negara ketika ini, yang diperintah kerajaan “tebuk atap”? Keabsahannya tiada, gagal dalam segala usahanya. Darurat pula hanya untuk mengekalkan kedudukan, bukan untuk tangani penyakit.
7. Pembangkang pula tidak menawarkan solusi. Kalau dikembalikan kuasa, masih dalam keadaan yang sama dengan yang sedia ada. Majoriti tipis tidak menjamin kelangsungan; tetap diancam ugutan katak dari kluster mahkamah dan kleptokrat. Seorang dua lompat, jatuh semula Kerajaan. Buntu. Negara berdepan jalan mati. Ke kiri ke kanan, ke depan ke belakang, ke atas ke bawah, semuanya tersekat; seolah-olah tiada lagi harapan bagi kita semua. Undang-undang ada, Perlembagaan pun ada tetapi tidak dipeduli oleh pihak yang berkuasa. Buat sesuka hati saja; nak peduli apa kalau perkenan Raja pun sudah dapat.
8. Kini timbul cadangan baharu untuk selamatkan keadaan, yang bukan hanya untuk tangani COVID-19, malah untuk menjamin masa depan dengan pentadbiran ala Mageran. Semacam tapi tidak serupa tahun 1969, zaman Tunku Abdul Rahman. Banyak tanda tanya mengenai Majlis Pemulihan Negara. Adakah ia menjamin penyelesaian atau menimbulkan lebih banyak masalah? Apa matlamat, objektif dan tujuan di sebalik cadangan penubuhan pentadbiran MPN?
9. Sesungguhnya cadangan penubuhan MPN ini timbul dari kesedaran bahawa rata-rata Rakyat hilang punca dan mulai putus harapan. Dalam banyak-banyak krisis yang kita hadapi bersama, tekanan terhadap jiwa kita yang paling bisa dan membinasa. MPN memberi kita jalan keluar dari kemelut, meleraikan permasalahan yang membelenggu. Ia memaksa politik diketepikan seketika supaya seluruh jentera Kerajaan boleh tumpu kepada usaha memerangi wabak penyakit dan selamatkan Rakyat. Soal ekonomi turut diberi tumpuan tanpa gangguan kepentingan politik. Impak sosial tidak terabai, malah diambilkira setiap kali strategi dan pendekatan dirangka.
10. Namun dengan MPN tidak bermakna setelah tiga perkara itu dapat ditangani, maka orang politik boleh kembali bercakaran. Penstrukturan semula politik negara untuk jangka masa panjang juga perlu difikirkan. Masalah perlu difahami, amalan yang sudah lapuk diubah dan tadbir urus yang baik dijadikan dasar agar kita tidak lagi terjebak dalam kemelut silam. MPN berhasrat untuk menstabilkan politik demi negara dan Rakyat. Lebih baik luangkan masa kepada meningkatkan kesejahteraan Rakyat dari buang masa dengan saingan politik toksik yang tidak menguntungkan sesiapa, malah merugikan negara.
11. Mungkin ini semua sekadar impian. Barangkali ada yang sinis memperlekehkan cadangan ini sebagai angan-angan Mat Jenin, kononnya tidak berpijak di bumi yang nyata, tidak praktikal dan terlalu susah untuk dilaksanakan. Ada juga yang menuduh MPN sebagai muslihat orang tua itu menjadi diktator, padahal tidak sedar bahawa semua sememangnya diperintah diktator sekarang ini. Ada pula yang berhujah MPN akan kuburkan demokrasi, walhal Parlimen boleh kembali bersidang di bawahnya.
12. Tercatat dalam sejarah bagaimana tamadun agung dan kaum yang hebat binasa kerana berulang kali melakukan kesilapan yang sama. Kita mesti mengambil iktibar dan tidak boleh biarkan keadaan buruk yang kita hadapi ini terus menguasai hidup tanpa kita melakukan sesuatu untuk selamatkan diri. Kita tidak boleh lakukan perkara yang sama berulang kali sambil mengharap hasil yang berbeza.
13. Dalam pengamatan saya, dari beberapa cadangan yang dikemukakan pelbagai pihak untuk menyelesaikan krisis yang kita hadapi, penubuhan Majlis Pemulihan Negara adalah yang terbaik. Jika ada yang lebih baik, sama-sama kita pertimbangkan. Besarlah harapan saya seluruh kepimpinan negara, malah seluruh Rakyat Malaysia boleh menerima syor ini, memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai langkah yang mengembalikan kegemilangan negara tercinta ini, insya-Allah.
Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir
Presiden Penaja Parti Pejuang Tanahair
#Majlis Pemulihan Negara #Mukhriz Mahathir #Pejuang #MPN #MAGERAN #COVID-19 #Tun Mahathir #negara pulih #politik sihat #Yang di-Pertuan Agong
;