Majlis angkat sumpah MB Kedah yang baharu petang ini

Hilal Azmi
Mei 11, 2018 11:03 MYT
Istiadat itu akan diadakan di Balairung Seri Kecil Istana Anak Bukit setelah mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. - Gambar hiasan
Majlis Perlantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar Kedah yang baharu dijadual diadakan di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.
Perkara ini disahkan Setiausaha Sulit kepada Kebawah DYMM Sultan Kedah, Datuk Elmi Yusoff dalam kenyataannya pada Jumaat.
Namun, persoalannya, siapakah bakal menghuni Seri Mentaloon?
Keputusan pilihan raya baru-baru ini menunjukkan Pakatan Harapan memenangi 18 kerusi diikuti Pas, 15 kerusi dan Barisan Nasional (BN) 3 kerusi.
Namun, jika Pas dan BN bersatu untuk mewujudkan kerajaan campuran, maka ia bakal mewujudkan situasi ‘kerajaan tergantung’ kerana mempunyai jumlah kerusi yang sama.
Namun kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang mereka menerima dan menghormati keputusan rakyat membuktikan sebaliknya.
“Bagi kami, sistem demokrasi dan Perlembagaan negara ini perlu terus dijunjung bagi memastikan keharmonian dan kemakmuran tanah air terus terjaga,” katanya.
Jadi, mengikut kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal memimpin Kedah, bukan dari Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Ada cakap-cakap mengatakan Datuk Johari Abdul dari PKR mungkin diangkat menjadi Menteri Besar.
Berdasarkan rekod sebelum ini, Datuk Amiruddin Hamzah, Ketua Pembangkang Kedah pada penggal lalu antara calon Menteri Besar yang paling sesuai jika Datuk Seri Mukhriz memilih untuk berada di peringkat pusat.
“Biarpun beliau meninggalkan Pas untuk menyertai PPBM penggal lalu, beliau masih berjaya menguasai kawasan DUN berkenaan,” kata sumber Pakatan Harapan.
#Barisan Nasional #Kedah #Mahathir Mohamad #Malaysia Memilih #MalaysiaMemilih #menteri #Menteri Besar #Pakatan Harapan #PAS #pilihan raya #pilihan raya umum #Sultan Kedah
;