Majlis angkat sumpah Exco Johor dijangka dapat diadakan Jumaat ini - MB
Hakim Rahman
Mac 4, 2020 17:19 MYT
Mac 4, 2020 17:19 MYT
Majlis angkat sumpah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baharu dijangka dapat diadakan Jumaat ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata beliau sedang memuktamadkan senarai akhir sebelum dipersembahkan semula kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk diperkenankan esok.
“Saya sedang memuktamadkan senarai akhir barisan Exco bersama pengerusi parti gabungan yang lain dan akan mempersembahkan semula senarai nama cadangan Exco Gabungan Baharu kepada Sultan Johor, esok.
“Senarai nama awal sudah dipersembahkan kepada Sultan Johor membabitkan lebih daripada 10 nama sebelum ini bagi pertimbangan Tuanku.
“InsyaAllah, saya berharap Jumaat ini barisan Exco baharu akan dapat mengangkat sumpah,” katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar, di sini, hari ini.
Tengah hari tadi, Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dilaporkan tiba di Istana Pasir Pelangi dipercayai bagi mempersembahkan senarai cadangan nama Ahli Majlis EXCO Johor kepada Sultan Ibrahim Iskandar.
Astro AWANI difahamkan, barisan Exco yang baharu akan menggunakan formula 5-2-1-1-1 mewakili setiap kaum dan parti dalam gabungan baharu tersebut dengan 5 portfolio bagi Umno, 2 PPBM, 1 Pas, 1 MIC dan 1 Bebas.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-18 di Istana Bukit Serene, Jumaat lalu.
#ADUN
#Astro Awani
#Barisan Nasional
#EXCO Johor
#Hasni Mohammad
#Malaysia2020
#Menteri Besar
#Menteri Besar Johor
#MIC
#PAS
#PPBM
#Sultan Ibrahim
#Sultan Johor
#UMNO