Majlis angkat sumpah barisan Exco Kedah berlangsung Isnin ini
Astro Awani
Februari 17, 2016 09:45 MYT
Februari 17, 2016 09:45 MYT
Tanda tanya mengenai senarai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kedah yang berkemungkinan besar dirombak berikutan pelantikan Menteri Besar baharu bakal terjawab Isnin ini.
Ia susulan satu jemputan media untuk menghadiri majlis angkat sumpah Exco Kerajaan Kedah oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri diedarkan kepada media, malam tadi.
Majlis itu dijadual berlangsung di Istana Anak Bukit, Alor Setar dan berdasarkan jemputan itu, majlis terbabit dijadual diadakan di balai penghadapan Istana Anak Bukit pada jam 10 pagi Isnin ini.
Kesemua barisan Exco akan mengangkat sumpah di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.
Bagaimanapun, jemputan itu tidak memaklumkan secara khusus mengenai sama ada akan berlaku perubahan atau rombakan dalam senarai barisan Exco.
Sebelum ini, pelbagai spekulasi tersebar kemungkinan berlaku perubahan pada barisan senarai Exco kerajaan negeri berikutan pelantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu awal bulan ini.
Difahamkan, sekurang-kurangnya tiga Exco yang dikatakan 'setia' kepada bekas Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang meletakkan jawatannya pada 3 Februari lalu akan digugurkan.
Exco Kerajaan Negeri Kedah ketika ini, antaranya termasuklah Datuk Aminuddin Omar, Datuk Suraya Yaacob, Datuk Tajul Urus Mat Zain, Datuk Norsabrina Mohd Noor dan Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.