Mahu pecah 'glass ceiling', KJ hasrat perkenal Naib Presiden UMNO Wanita
Mariah Ahmad
Jun 20, 2018 20:46 MYT
Jun 20, 2018 20:46 MYT
Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhasrat untuk memecahkan 'siling kaca' (glass ceiling) dalam parti UMNO dengan memperkenalkan jawatan Naib Presiden khas untuk golongan ini.
"Ketika ini dilhat seolah-olah ada 'glass ceiling' untuk wanita. Kita akan kekalkan jawatan Ketua Wanita yang berperanan untuk memantau bahagian sayap.
"Naib presiden ini berkuasa di peringkat lebih tinggi. Dia mempunyai kuasa untuk merasmikan bahagian dan sebagainya.
"Keperluan naib presiden khas wanita juga adalah bagi mempercepatkan proses keperluan 30 peratus pembabitan golongan ini dalam kepimpinan tertinggi," katanya dalam satu sidang media hari ini di Menara Dato' Onn di sini.
Selain memperkenalkan jawatan Naib Presiden UMNO khas untuk wanita, Khairy juga berhasrat untuk memperkenalkan jawatan Naib Presidan untuk wakil Sabah jika di dipilih sebagai presiden parti.
Dalam sidang media yang sama, Khairy juga berkata beliau bertekad membawa pembaharuan dalam parti keramat orang Melayu itu menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Khairy bakal bersaing dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah serta empat lagi calon untuk merebut jawatan Presiden UMNO.
Perebutan jawatan Presiden kali ini adalah jumlah paling banyak dalam sejarah parti dan ia merupakan kali pertama jawatan nombor satu itu dipertandingkan sejak 1987.
Pemilihan kali ini juga menyaksikan jawatan Timbalan Presiden bakal ditandingi oleh tiga calon, Naib Presiden sembilan calon, Majlis Tertinggi 121 calon, Ketua Pemuda (sembilan calon) dan Ketua Puteri (empat calon).
Pemilihan UMNO kali ini akan berlangsung pada 30 Jun.