Mahkamah batal petisyen pilihan raya Suka Menanti, kemenangan PN kekal
Bernama
Oktober 18, 2023 16:15 MYT
Oktober 18, 2023 16:15 MYT
ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan Ketua Penerangan PKR Kedah Datuk Zamri Yusuf untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti, 12 Ogos lepas.
Hakim Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan dua responden iaitu Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Dewan Negeri Suka Menanti dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap petisyen itu sekali gus mengekalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) Dzowahir Ab Ghani di kerusi tersebut pada PRN.
Peguam Mohamed Sofee Razak yang mewakili Zamri ketika dihubungi berkata mahkamah yang membuat keputusan itu secara dalam talian mengarahkan Zamri, yang sebelum ini penyandang kerusi DUN Suka Menanti membayar kos RM15,000 kepada responden.
Responden diwakili antaranya Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, Sallehuddin Ali dan Nur Idayu Amir.
Pada PRN lepas, Dzowahir mewakili PN menang dengan majoriti 8,245 undi selepas mendapat 18,396 undi manakala Zamri yang mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh 10,151 undi dalam pertembungan satu lawan satu di kerusi DUN Suka Menanti.
Petisyen pilihan raya itu difailkan pada 18 Sept lepas atas dakwaan terdapat keraguan, kesilapan dan kecatatan jumlah undi dalam 18 keping Borang 14 yang memberi kesan besar kepada keputusan PRN.
-- BERNAMA