Mahdzir yakin GPS menang besar pada PRU15
Bernama
Oktober 2, 2022 23:21 MYT
Oktober 2, 2022 23:21 MYT
LIMBANG: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin Gabungan Parti Sarawak (GPS), akan memperolehi kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), berdasarkan prestasi parti itu memperolehi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 lalu.
Mahdzir berkata kemenangan besar pada PRU15 itu nanti, akan menyumbang kepada situasi politik yang lebih baik dan kerajaan yang stabil di negara ini.
"Kerajaan yang ada mestilah kerajaan yang stabil. Tak mahu empat tahun ada tiga perdana menteri," kata Menteri Pembangunan Luar Bandar itu semasa merasmikan penutupan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Kompleks Sukan Limbang di sini hari ini.
Menurut Mahdzir kestabilan politik amat penting di negara ini, bagi memastikan pembangunan dapat terus dilaksanakan di seluruh negara, lebih-lebih lagi untuk masyarakat di luar bandar.
Sebelum itu Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam ucapannya menegaskan, GPS perlu menang besar pada PRU akan datang bagi memastikan Sarawak mempunyai suara yang kuat di Parlimen.
Katanya kemenangan yang besar itu bukan sahaja dapat memastikan kestabilan politik negara, tetapi turut penting agar perjuangan mendapatkan kembali hak dan keistimewaan Sarawak, seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dapat diteruskan.
"Ini adalah perjuangan demi masa depan anak cucu kita," tambahnya.
-- BERNAMA