'Mahathir yang ajar saya jadi kurang ajar' - Nazri Aziz
Sinar Harian
April 7, 2018 18:02 MYT
April 7, 2018 18:02 MYT
Terkenal dengan kelantangannya, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendakwa beliau ‘kurang ajar’ kerana Tun Dr Mahathir Mohamad ‘mengajarnya’ menjadi begitu.
Menurutnya, dia tidak pernah melupakan tindakan bekas perdana menteri itu melawan Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan bersikap ‘kurang ajar’ kepada Bapa Kemerdekaan Malaysia itu.
Tambah beliau, orang Melayu selalunya terkenal dengan kesopanan terutamanya apabila berdepan pemimpin namun apa dilakukan Tun Mahathir sangat berbeza.
“Masa itu saya berumur 15 tahun dan sebagai orang muda, saya melihat ia merupakan fenomena baru. Saya tengok Mahathir ni lain jadi saya terikut-ikut dengan dia.
“Saya kira pada hari ini kalau saya kurang ajar, dia laa (Tun Mahathir) yang ajar saya. Dia kurang ajar dengan perdana menteri (Tunku Abdul Rahman) tapi saya kurang ajar dengan bekas perdana menteri.
“Tapi saya bagus sikitlah sebab saya tak kurang ajar dengan perdana menteri. Itu pun selepas dia (Tun Mahathir) lawan kita. Banyak benda dia ajar jadi saya ikut apa dia ajar sampai sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kayuhan Sayang Malaysia Visit MyKampung di Dataran Labu Kubong, di sini, pagi tadi.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri menempelak dakwaan mengatakan BN bertanggungjawab kepada pembubaran Bersatu seperti diumumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros) baru-baru ini.
Tegasnya, Bersatu tidak mahu mengaku salah lantas menuding jari kepada Umno sedangkan keputusan itu ditetapkan Ros kerana parti itu gagal mematuhi beberapa syarat ditetapkan.
“Saya dah kata banyak kali dah, kita (BN) tak mahu menang dengan cara tidak elok. Kita nak rakyat ada pilihan dan sokong kita kerana memang betul-betul sokong kita.
“Saya dah kata pun yang parti ini (Bersatu) gigit kita macam nyamuk saja. Walaupun Rafidah (Tan Sri Rafidah Aziz) kata nyamuk gigit boleh mati tapi dalam cerita ini, nyamuk gigit kita tapi nyamuk yang mati.
“Macam nyamuk aedes, dia gigit kita, manusia mati tapi ini nyamuk yang mati. Itulah Umno. Umno ni keramat, jangan khianat Umno,” ujarnya.