Mahathir tiada tempat di hati rakyat Sarawak - Penganalisis

Harits Asyraf Hasnan
Februari 23, 2018 19:27 MYT
Prof. Madya Dr Jeniri Amir berkata ini kerana rekod dan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperjuangkan nasib rakyat Sarawak jauh lebih baik berbanding kepimpin 22 tahun, Tun Dr Mahathir. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Momentum kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016 akan berterusan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Penganalisis politik Sarawak, Profesor Madya Dr Jeniri Amir berkata ini kerana rekod dan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperjuangkan nasib rakyat Sarawak jauh lebih baik berbanding kepimpinan 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Najib yang telah berkunjung ke Sarawak sebanyak 59 kali dan ke 126 kawasan dengan komitmen yang jitu dari segi tanah adat serta sosio ekonomi selain telah menyalurkan begitu banyak peruntukan termasuk satu projek besar iaitu Pan Borneo.
"Saya percaya pengundi di Sarawak dapat memilih pemimpin dengan bijaksana dan adil serta siapa sebenarnya pemimpin yang paling sesuai untuk disokong dalam pilihan raya umum akan datang.
"Malah, berdasarkan rekod dan komitmen lepas antara Najib dan Dr Mahathir, saya percaya dalam kalangan pengundi Sarawak, tiada tempat untuk Dr Mahathir di hati mereka," katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Jumaat.
Tambahnya, antara faktor penyumbang kejayaan BN termasuk legasi kepimpinan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
Ujarnya, walaupun Adenan Satem yang dikenali sebagai Tok Nan telah meninggal dunia, namun aura yang dibawa dalam legasi Allahyarham masih bersemarak.
"Walaupun Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan) sudah tidak bersama kita, namun semanagt dan aura itu masih ada dan diperkukuh dengan perjuangan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Tun Openg.
"Apa yang dibawa oleh Abang Johari tidak berubah dengan agenda dan matlamat perjuangan yang dibawa oleh allahyarham Tok Nan," katanya.
Justeru, katanya apa yg dilaksanakan Ketua Menteri Sarawak ketika ini akan dapat mempengaruhi corak pengundian pada PRU14.
#2016 #Adenan Satem #agenda #Barisan Nasional #Ketua Menteri #Mahathir Mohamad #meninggal dunia #Najib Razak #pilihan raya #pilihan raya umum #politik #PRU #rakyat
;