Mahathir Rais tinggalkan Bersatu, PN

Astro Awani
Januari 11, 2025 11:00 MYT
Mahathir mengumumkan keputusannya melepaskan jawatan Setiausaha Bersatu Wilayah dan Setiausaha Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan selain keahliannya dalam parti itu berkuat kuasa serta-merta.
KUALA LUMPUR: Setiausaha Bersatu Wilayah dan Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Dr Mahathir Mohd Rais mengumumkan keputusannya melepaskan kedua-dua jawatan berkenaan selain keahliannya dalam parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan beliau melalui satu surat yang ditujukan kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu dan Pengerusi PN Wilayah Persekutuan, Datuk Radzi Jidin, hari ini.
"Saya dengan ini melepaskan jawatan selaku Setiausaha Bersatu Wilayah dan Setiausaha Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan, serta juga mengumumkan peletakan keahlian dalam Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
"Kepada Allah SWT saya berserah," kata Mahathir dalam surat peletakan jawatan turut dikongsi dengan media.
Beliau, bagaimanapunb tidak mengulas sebarang sebab mengenai tindakannya itu.
Sebelum ini, dalam laporan sebuah portal, Mahathir memaklumkan 'perjuangan sudah tidak selari' sebagai antara sebab tindakan itu diambil.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan akan menunaikan umrah pada 22 Januari ini dan keputusan mengenai masa depannya termasuk menyertai mana-mana parti akan dibuat selepas itu.
Mahathir sebelum ini lantang mengkritik perhimpunan diketuai Pas untuk menyokong Datuk Seri Najib Razak pada 6 Januari lalu, mengatakan ia mencerminkan kesediaan PN berkompromi dengan prinsipnya demi kepentingan politik.
Katanya, sabitan dan hukuman 12 tahun bekas Perdana Menteri dalam kes SRC International menjadi peristiwa penting bagi Malaysia dan menyifatkan perhimpunan solidariti itu sebagai mengecewakan.
Perhimpunan di Istana Kehakiman, Putrajaya dihadiri pemimpin Bersatu dan Pas, antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
#Mahathir Rais #letak jawatan #Bersatu #Perikatan Nasional
;