'Mahathir, lawat dulu makam Tunku sebelum pusara Tok Guru' - Md Alwi

Vivi Sumanti
Mei 6, 2018 17:56 MYT
Hasrat Tun Mahathir untuk menziarahi pusara Allahyarham Nik Abdul Aziz terbantut apabila pihak keluarga Allahyarham terlebih dahulu mengunci pagar tanah perkuburan yang terletak di Pulau Melaka. - Foto Astro AWANI
Barisan Nasional (BN), Kelantan mengalu-alukan kedatangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad ke Kelantan hari ini bagi melihat sendiri kerosakan dan pengabaian yang beliau lakukan di negeri itu sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu.
Setiausaha BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, Tun Mahathir dapat menyaksikan sendiri kerosakan yang dilakukan di negeri itu melibatkan pelbagai perkara dari pembangunan hinggalah ke perpecahan sesama umat Melayu.
Dalam pada itu, tindakan Tun Mahathir yang melahirkan hasrat menziarahi kubur bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi tadi dianggap pelik.
Ini kerana kata Md Alwi, sepatutnya Tun Mahathir terlebih dahulu menziarahi pusara bekas perdana menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra A-Haj kerana sepanjang hayat Tunku, Tun Mahathir adalah antara penentang utama pentadbiran Almarhum.
“Beliau (Mahathir) sepatutnya pergi menziarah makam Almarhum Tunku, kemudian ziarah Makam Pahlawan Negara, ziarah makam Almarhum Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Hussein Onn, baru kena,” katanya dalam sidang media di Pusat Media BN Kelantan, di sini hari ini.
BACA: 'Keluarga Tok Guru halang Tun M ziarah kubur'
BACA: Tindakan Tun M cuba lawat kubur Nik Aziz kepura-puraan tahap 'extreme' - Najib
Beliau berpandangan tindakan Tun Mahathir yang berhasrat menziarahi pusara Allahyarham Nik Abdul Aziz merupakan satu tindakan baik sekiranya matlamat beliau untuk bersedekah bacaan Al Fatihah dan mengingatkan mati.
Sebaliknya jika Tun Mahathir berhajat untuk meraih publisiti politik, kata Med Alwi ianya sesuatu yang tidak kena pada masa dan keadaannya.
Pagi tadi bekas perdana menteri itu mengadakan kunjungan singkat ke Kelantan dalam siri jelajahnya bertemu dengan penyokong PH di sini.
Hasrat Tun Mahathir untuk menziarahi pusara Allahyarham Nik Abdul Aziz terbantut apabila pihak keluarga Allahyarham terlebih dahulu mengunci pagar tanah perkuburan yang terletak di Pulau Melaka.
Mohd Alwi berpandangan, tindakan yang dilakukan oleh keluarga Allahyarham itu berkemungkinan disebabkan sikap Tun Mahathir yang selama ini yang menghina Pas dan Allahyarham Nik Abdul Aziz semasa beliau masih hidup.
#Barisan Nasional #Mahathir Mohamad #Malaysia Memilih #MalaysiaMemilih #Melayu #Nik Abdul Aziz Nik Mat #Pakatan Harapan #PAS #Perdana Menteri
;