Mahathir jadi PM dua tahun cuma gimik politik - MB Perlis
Bernama
Februari 4, 2018 17:26 MYT
Februari 4, 2018 17:26 MYT
Hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri selama dua tahun sekiranya pembangkang diberi mandat memerintah adalah sekadar gimik politik bagi menarik sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azlan Man.
Azlan yang juga Menteri Besar Perlis berkata idea pembangkang itu jelas tidak praktikal.
"Jadi perdana menteri selama dua tahun, (dia) tidak akan sempat buat apa-apa, lepas itu kena ganti orang lain. Kenapa nak ambil risiko itu sedangkan Barisan Nasional (BN) sudah ada pemimpin yang ada kepimpinan untuk memimpin negara.
"...sudah tahu siapa (akan jadi perdana menteri), konsistensi dan kepastian ada di sana (pada BN)," katanya kepada pemberita selepas program Mesra Rakyat di Kampung Tok Kaya di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang dilaporkan sebuah portal berita sebagai berkata bahawa beliau hanya menjadi perdana menteri selama dua tahun jika Pakatan Harapan memenangi PRU14.
Azlan yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis memberitahu bahawa pihaknya sedang mengenal pasti pengundi yang berpihak kepada BN dengan mengadakan lawatan ke semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Perlis.
-- BERNAMA
#Azlann Man
#Barisan Nasional
#BN
#gimik politik
#Mahathir Mohamad
#Menteri Besar Perlis
#pembangkang
#Perdana Menteri
#pilihan raya umum
#PRU14
#UMNO