'Macam mana saya keluar GRS sedangkan masih ADUN Bebas' - Masiung Banah
Mirlen Axtius
Oktober 17, 2022 19:28 MYT
Oktober 17, 2022 19:28 MYT
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut (ADUN), Datuk Masiung Banah hari ini menafikan dakwaan bahawa dirinya akan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Masiung dalam kenyataan berkata beliau tetap teguh dan menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS.
"Secara logiknya, macam mana saya keluar GRS sedangkan masih ADUN Bebas, tidak menyertai mana-mana parti dalam GRS. Saya cuma anggota mesra GRS," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular di media sosial sejak semalam yang mengaitkan Masiung bersama tiga ADUN lain iaitu, Datuk Rubin Balang (Kemabong), Datuk Ruddy Awah (Pitas) dan Datuk Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) akan keluar meninggalkan GRS.
Menurut Masiung, petang semalam beliau berada di kawasan untuk menziarahi penduduk kampung yang meninggal dunia dan sukar dihubungi.
Menurut Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu, isu tersebut mungkin sengaja ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab menjelang Pilihan Raya Umum dengan tujuan tidak baik.
"Saya hanya mengetahui perkara itu, apabila Pegawai Komunikasi dan Media saya, Yussof Imbang menghubungi saya lewat tengah malam," jelasnya.
Yussof yang sedang bercuti di Kuala Penyu sejak kelmarin dihujani panggilan telefon dan aplikasi Whatsapp yang bertanyakan perkara tersebut, namun tidak dapat mengesahkan kerana Masiung yang baharu dilantik sebagai Pengerusi GRS Kinabatangan itu gagal dihubungi.