MA63: Dah bagi peluang 60 tahun bah, kenapa tidak ubah? - Wanita Amanah
Hasimi Muhamad
Januari 9, 2020 14:03 MYT
Januari 9, 2020 14:03 MYT
Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menempelak janji yang dibuat Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengaku akan melaksanakan 100 peratus Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya BN kembali berkuasa.
Ketuanya Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, BN sudah diberi tempoh 60 tahun selama mereka memerintah, namun tidak melakukan perkara itu.
Justeru, beliau menzahirkan rasa hairan apabila baharu sekarang BN mahu memperjuangkan perkara itu, kononnya selepas diberi semula mandat oleh rakyat.
“Kamu telah diberi peluang 60 tahun bah, sudah 60 tahun bah, kenapa kamu tidak ubah dan kenapa kamu tidak penuhi (MA63)?
“Jangan bilang kata mahu 100 peratus, sikit pun tidak nampak! Dan MA63 ini mula disebut-sebut oleh pejuang-pejuang sekarang, yang kini menjadi kerajaan.
“Jadi, tak payah lah, ini semua auta (janji melaksanakan MA63), sudah 60 tahun,” katanya, di sini, hari ini.
Aiman turut menasihatkan rakyat supaya tidak mudah tertipu dengan mainan politik BN.
“Kita adalah sebuah parti politik yang baharu, yang fresh, dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) kita yang sangat hebat.
“Kalau pun ada kekurangan kita, kita sentiasa kena mengingatkan teman-teman kita yang menjadi kerajaan,” katanya.
Malam tadi, Ahmad Zahid ketika menyampaikan ceramah dalam kempen pilihan raya kecil P176 Kimanis berkata, walaupun bakal ada kekangan untuk melaksanakan MA63 namun ia bukan bermakna perkara itu tidak boleh dilaksanakan.
“Hak negeri Sabah harus dikembalikan 100 peratus kepada kerajaan Sabah,” katanya.
#Aiman Athirah Al Jundi
#Barisan Nasional
#kerajaan
#MA63
#Mohd Shafie Apdal
#Perjanjian Malaysia 1963
#politik
#rakyat
#Zahid Hamidi