'M.I.C.Y.O.U.T.H' sebagai formula perjuangan Pemuda MIC - Khairy

Bernama
Oktober 18, 2015 00:47 MYT
Khairy: MIC perlu mengambil iktibar daripada krisis sebelum ini bagi mengembalikan aura parti untuk menjadi lebih kuat dan utuh, terutamanya untuk memikat hati generasi muda menyertai parti itu.
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin mahu sayap Pemuda MIC berpegang teguh kepada semangat 'M.I.C.Y.O.U.T.H' iaitu 'Moderation, Intellectual, Compassionate, Youthful, Organize, Unity, Trustworthy, Hands-On' sebagai formula menjamin kebangkitan semula MIC, parti komponen BN.
Khairy berkata formula tersebut merupakan lapan kunci prinsip kejayaan yang diambil serta digabungkan menerusi MIC dan BN.
"MIC perlu mengambil iktibar daripada krisis sebelum ini bagi mengembalikan aura parti untuk menjadi lebih kuat dan utuh, terutamanya untuk memikat hati generasi muda menyertai parti itu.
"Sikap kesederhanaan setiap anggota parti perlu disemai untuk memperjuangkan hak rakyat khususnya masyarakat India dengan penuh kesungguhan dan keberanian," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan ke-28 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Khairy juga menekankan amalan sikap kasih sayang dalam kepimpinan agar diterapkan setiap pucuk kepimpinan supaya dapat merasai denyut nadi rakyat sebelum membuat sebarang keputusan.
Dalam pada itu beliau juga yakin dengan kebangkitan MIC, terutama kepimpinan baharu Pemuda MIC yang mampu mengukuhkan lagi semangat kekitaan dalam BN serta asas perjuangan masyarakat India.
"Sebab itu hari ini saya berasa cukup lega, kerana kita lihat kebangkitan semula MIC di bawah kepimpinan Presiden baharu Datuk Seri Dr. S Subramaniam.
Kita ada masa lagi dua tahun setengah untuk kembalikan semula keyakinan orang India terutama golongan muda terhadap MIC dan BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-14," katanya.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan menyeru Pemuda MIC supaya aktif dengan program turun padang bagi tujuan mendekatkan diri dengan rakyat khususnya golongan muda.
Di samping itu, beliau mahu setiap kepimpinan dalam parti itu memantapkan pengurusan baharu yang ada bagi kelangsungan parti demi masa depan.
"MIC mesti teratur... politik bukan bererti bagi ucapan bagus, sidang akhbar, majlis pelancaran atau sebagainya, kita mesti punya pengurusan yang bagus. Kekuatan politik datangnya daripada pengurusan kepimpinan yang terurus dan mantap," katanya.
#Barisan Nasional #BN #Khairy Jamaluddin #MIC #Pemuda BN #youth
;