Lucut jawatan UMNO: Hilmie, cermin diri sendiri sebelum mengata orang lain - Khairuddin
Wan Syamsul Amly
Mac 3, 2015 20:01 MYT
Mac 3, 2015 20:01 MYT
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu Kawan, Mohd Hilmie Ibrahim dinasihat cermin diri sendiri sebelum mengata individu lain terutama mengenai isu sikap dan moral masing-masing.
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Mohd Hilmie turut dinasihat untuk lebih kerap menghadiri mesyuarat UMNO bahagian sebelum meminta sebarang agensi menyiasatnya terhadap sebarang tuduhan salah laku.
"Saya ingin sarankan budak hingusan ini (Mohd Hilmie) cermin muka sendiri. Saya lebih kerap dan rajin hadiri program UMNO Bahagian Batu Kawan serta mesyuarat-mesyuarat bahagian jika dibandingkan dengannya.
"Hilmie senditi tidak hadir mesyuarat pengurusan bahagian sebanyak empat kali berturut-turut.
"Walaupun saya tinggal di Kuala Lumpur, saya tetap balik ke kawasan hampir setiap minggu," katanya ketika mengubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Khairuddin mengulas tindakan Mohd Hilmie yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada minggu lalu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir memaklumkan telah menerima salinan surat pelucutan jawatan Khairuddin sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan daripada ibu pejabat UMNO.
Jelasnya, pelucutan jawatan itu adalah selaras dengan Perlembagaan UMNO dan peraturan-peraturan persidangan UMNO.
Bagaimanapun, Khairuddin memberitahu tidak terkejut langsung dengan berita dilucutkan jawatan itu selain hairan dengan sikap Ibu Pejabat UMNO yang tidak pernah memanggilnya untuk memberi penjelasan mengenai kedudukan sebenar kes tersebut yang hakikatnya sedang diselesaikan.
Tegas Khairuddin lagi, Mohd Hilmie turut dikatakan seorang yang sebenarnya merosakkan nama baik UMNO di Pulau Pinang sebelum ini.
"Hilmie adalah salah seorang yang menceroboh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada tahun lepas yang kini juga telah menjadi satu kes mahkamah.
"Dia jelas tidak memahami serta menghormati undang-undang negara sekal igus tidak layak untuk memberi komen terhadap diri saya
"Dia juga tidak menghormati etika dan peraturan parti kerana sehingga kini masih tidak menjawab surat tunjuk kerana gagal menghadiri mesyuarat pengurusan bahagian sebanyak empat kali berturut turut," jelasnya.
Dalam pada itu, Khairuddin turut mencabar Mohd Hilmie untuk berdebat mengenai isu 1MDB secara terbuka di Batu Kawan seandainya mempunyai pengetahuan mengenai isu berkenaan.
"Jangan hanya belagak dan cakap pandai sahaja, jangan kalut kalau diri sendiri tidak faham serta tidak tahu mengenai permasalahan isu 1MDB," katanya.