Lompat parti: Anwar perlu teliti permohonan tiga Adun Amanah sertai PKR - Mujahid

Fareez Azman
Februari 28, 2021 14:13 MYT
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata Amanah antara parti teras di dalam Pakatan Harapan dan PKR seharusnya meneliti permohonan tiga ADUN Amanah itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Amanah Negara (Amanah) melompat parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah tindakan yang boleh menjejaskan hubungan parti di dalam Pakatan Harapan (PH).
Tegas Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa PKR terutama Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu meneliti permohonan ketiga Adun itu demi menjaga hubungan baik di antara parti di dalam Pakatan Harapan.
"Pertama, menjaga hubungan baik rakan-rakan dalam PH, dan kita tahu Amanah salah sebuah parti teras membentuk PH sejak dari awal. Pertimbangan itu sangat utama untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang mempunyai pandangan luas meneliti perkara tersebut.
"Kedua, pertimbangan kewajaran lompat parti pada saat hari ini, PH memerlukan satu keutuhan dan persaudaraan yang kukuh perlu juga diambil kira dan kalau dirujuk pertimbangan tersebut, maka kembali kepada asalnya iaitu mereka kekal dengan PH dan duduk di dalam Amanah," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Kemelut politik parti Amanah - Reaksi Mujahid Yusof
Di sebalik tindakan tiga Adun itu, kepimpinan Amanah juga jelas Mujahid perlu bermuhasabah diri dalam memastikan tiada isu sama berulang.
"Ketiga, di sebalik kita melihat mereka (tiga Adun) pindah dan lompat parti, kita perlu secara pimpinan bermuhasabah diri dengan kata lain perlu bertanya kenapa mereka nak lompat?
"Dimana alasan utama, adakah alasan itu wajar? Atau hanya sekadar alasan untuk menterjemahkan satu hasrat yang ingin disampaikan?
"Mesejnya kalau begitu, bukankah lebih baik ketiga-tiga Adun ini bertemu dengan pimpinan dan nyatakan apa masalah mereka, kerana tindakan mereka itu boleh menjejaskan hubungan baik antara parti dalam PH," katanya lagi.
Terdahulu, tiga Adun Amanah dari Johor bertindak menyertai PKR pada Sabtu. Mereka masing-masing ialah Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim; Adun Serom, Faizul Amri Adnan serta ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit.
#Khairuddin #Anwar Ibrahim #PKR #Pakatan Harapan #Parti Keadilan Rakyat #Parti Amanah Negara #Astro Awani #ADUN #Amanah #presiden #rakyat #lompat parti #politik #Naib Presiden Amanah #Mujahid Yusof Rawa
;